Pandelela-Jun Hoong terlepas gangsa - Sukan Ekstra | mStar

Pandelela-Jun Hoong terlepas gangsa

Diterbitkan: Khamis, 7 Jun 2018 9:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Usaha gandingan penerjun wanita negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong untuk menghasilkan pingat kepada skuad terjun negara tidak kesampaian pada Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA ke-21 di Wuhan, China, malam Khamis.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Natatorium of Wuhan Sports Center itu, Pandelela Rinong dan Jun Hoong terlepas pingat gangsa kepada gandingan Kanada, Caeli McKay-Meaghan Benfeito dengan perbezaan hanya 5.04 mata.

Penerjun Kanada itu memperolehi 324.42 mata untuk pingat gangsa manakala pasangan negara memperolehi 319.38 mata di tempat keempat.

Pingat emas menjadi milik penerjun tuan rumah, Zhang Jiaqi-Zhang Minjie yang mendominasi dari awal dengan mengumpul 366.12 mata selepas lima terjunan, sementara gandingan Kim Mi Hwa-Kim Kwang Hui dari Korea Utara meraih pingat perak selepas mengumpul 328.98 mata.

Pandelela dan Jun Hoong bermula baik dengan mengekori rapat penerjun China di kedudukan kedua selepas dua terjunan namun memasuki terjunan ketiga, gandingan Korea Utara dan Kanada mula memintas kedudukan mereka.

Terdahulu dalam acara 3m papan anjal lelaki, Ooi Tze Liang gagal menempah aksi final selepas sekadar menamatkan saingan separuh akhir di tempat ke-16 dengan mengumpul 354.90 mata.

Hanya 12 daripada 18 penerjun dalam sainga separuh akhir mara ke final.

Pingat emas dan perak acara itu dimenangi penerjun tuan rumah, Xie Siyi dan Cao Yuan, masing-masing mengumpul 557.60 dan 544.60 mata, sementara pingat gangsa menjadi milik Jack Laugher dari Great Britain dengan 515.00 mata.

Saingan hari kelima pada Jumaat menyaksikan Malaysia akan mempertaruhkan gandingan muda, Hanis Nazirul Jaya Surya dan Jellson Jabilin dalam saingan 10m platform seirama lelaki.

Sementara Wendy Ng Yan Yee, yang membuat penampilan semula selepas pengantungan akibat isu doping pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017, akan memulakan saingan peringat awal dalam acara 3m papan anjal wanita bersama-sama Nur Dhabitah Sabri.

Peringkat separuh akhir dan akhir acara itu akan diadakan pada Sabtu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pandelela , Cheong Jun Hoong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan