Sukma 2018: Acara basikal trek digugurkan - Sukan Ekstra | mStar

Sukma 2018: Acara basikal trek digugurkan

Diterbitkan: Selasa, 5 Jun 2018 9:02 PM

Chuan How melihat dengan lebih dekat trek basikal ketika beliau mengadakan lawatan ke Velodrom Rakyat iaitu salah satu venue Sukma Perak 2018 pada Selasa. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

IPOH: Acara basikal trek akan digugurkan daripada kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 ekoran trek yang mempertandingkan 12 pingat menerusi enam acara itu tidak selamat digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri Lee Chuan How berkata trek basikal di Velodrom Rakyat di sini bukan sahaja tidak sedia digunakan malah boleh menjadi ancaman kepada atlet.

“Memang tiada alternatif lain selain digugurkan, baik saya pikul tanggungjawab untuk jawab kenapa ia perlu digugurkan berbanding menjawab sekiranya terdapat atlet tercedera akibat velodrom yang tidak sempurna,” katanya ketika ditemui selepas melawat venue Sukma di sekitar bandar raya Ipoh pada Selasa.

Beliau yakin trek tersebut tidak dapat dibaiki dan tidak akan mencapai piawian untuk digunakan sebagai venue pertandingan sebelum Sukma 2018 yang bermula 12 hingga 22 Sept ini.

“Trek lumba yang memakan belanja besar ini mempunyai masalah seperti reput dan berlumut (trek) yang bukan sahaja pada permukaan, malah sampai ke kayu berlapis-lapis," katanya.

Chuan How berkata beliau akan memanggil pihak yang terlibat dalam projek membaik pulih velodrome bernilai RM11 juta itu bagi menjelaskan mengapa kerosakan itu boleh berlaku sedangkan ia baharu siap dalam tempoh tiga bulan.

Ditanya sama ada kerajaan Perak pimpinan Pakatan Harapan akan mengekalkan perancangan untuk melibatkan 12 daerah sebagai venue pertandingan, beliau berkata perkara itu akan diteruskan.

“Memang ada permintaan untuk diperkecilkan tapi disebabkan tempoh berlangsungnya Sukma tinggal kurang dari 100 hari lagi, jadi kami akan meneruskan dengan rancangan sedia ada.

"Cuma mungkin akan ada perubahan sedikit tentang acara-acara tertentu dialih ke tempat lain tetapi secara dasar kami akan kekalkan kesemua 12 daerah terlibat seperti yang dirancang,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan 26 jenis sukan merangkumi 369 acara bakal dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu, melibatkan 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen seluruh negara.

Sebanyak 24 pingat dipertandingkan di Sukma 2018 bagi acara lumba basikal dan 12 daripadanya daripada acara trek.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukma 2018 , basikal trek
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan