Peruntukan RM225 juta buat Sukma - Sukan Ekstra | mStar

Peruntukan RM225 juta buat Sukma

Diterbitkan: Jumaat, 1 Jun 2018 4:25 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 Perak 2018 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 22 September depan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak RM160 juta diperuntukkan untuk pembinaan infrastruktur,  manakala RM65 juta lagi dikhususkan untuk kegunaan selain pengurusan sukan berkenaan.  

Katanya selain jumlah berkenaan, kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan sebanyak RM4.02 juta daripada pihak swasta dan syarikat korporat dalam bentuk tajaan barangan selain wang tunai.  

"Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak swasta serta badan korporat yang telah bersama membantu dalam penganjuran SUKMA Perak pada kali ini.

Saya turut menggalakkan lebih banyak pihak terutama sektor swasta untuk terus menyumbang bagi merealisasikan hasrat kita menjadikan ia sebagai temasya paling meriah pernah diadakan," katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, Jumaat. 

Terdahulu, Ahmad Faizal menerima sumbangan RM100,000 daripada wakil Syarikat KL Teh Land.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How berkata pihak swasta dan badan korporat yang menyumbang bagi penganjuran Sukma layak menikmati pelbagai manfaat termasuk pelepasan cukai, publisiti media serta jemputan khas melibatkan kontinjen SUKMA.  

"Sebagai contoh, kita ambil daripada sudut pelepasan cukai, ia tertakluk di bawah subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.  Publisiti daripada media juga diperoleh berdasarkan tumpuan orang ramai di seluruh negara terhadap sukan tersebut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap Sukma berkenaan dapat dianjurkan sebaiknya dengan sokongan semua pihak termasuk rakyat dari dalam dan luar Perak. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukma
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan