Persatuan Kriket Malaysia yakin kriket masuk Sukan SEA 2019 - Sukan Ekstra | mStar

Persatuan Kriket Malaysia yakin kriket masuk Sukan SEA 2019

Diterbitkan: Rabu, 23 Mei 2018 9:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yakin sukan itu akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2019 di Filipina setelah penganjur mengetepikannya daripada senarai awal 30 jenis sukan yang diumumkan di Manila, minggu lepas.

Presidennya, Mahinda Vallipuram berkata senarai awal itu, yang turut menyaksikan sukan berpasukan lain turut  diketepikan seperti hoki dan ragbi tujuh sebelah, bukan merupakan senarai muktamad tetapi untuk tujuan memberi  peluang kepada anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) membincangkan dan mengesyorkan sukan dan acara tambahan.

“Kriket masih ada peluang kukuh untuk disenaraikan kerana Manila akan menjadi tuan rumah kejohanan World Twenty (T20) ICC  2018/2019 Ujian  Kelayakan Asia Timur-Pasifik (sebahagian daripada Ujian Kelayakan Piala Dunia T20 2020). 

Di samping itu, pemenang pingat pada Sukan  SEA  2017,  Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia ingin melihat kriket dipertandingkan semula.

“Kami juga akan membuat  rayuan melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) supaya sukan kedua paling ramai penonton di dunia ini, dimasukkan,” kata Mahinda, yang juga naib presiden MOM kepada Bernama di sini pada Rabu.

Pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, di mana kriket dipertandingkan untuk julung kalinya sejak sukan dwitahunan itu dianjurkan, Malaysia menang pingat emas bagi acara lelaki 50 overs, perak (lelaki T20) dan gangsa (wanita T20).

Singapura meraih satu pingat emas dan satu perak, Thailand satu emas dan satu perak, manakala Indonesia membawa pulang satu perak dan satu gangsa.

Mahinda juga yakin kriket akan kembali dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, dan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom, manakala rundingan sedang diadakan agar sukan itu tersenarai bagi kali pertama sebagai acara dalam sukan Olimpik dan dipertandingkan pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Tags / Kata Kunci: Kriket
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan