Atlet lawan pedang tunggu isyarat MOM - Sukan Ekstra | mStar

Atlet lawan pedang tunggu isyarat MOM

Diterbitkan: Selasa, 15 Mei 2018 5:21 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berbaki 94 hari menjelang Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) masih menunggu kelulusan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung jumlah atlet lawan pedang yang bakal bersaing pada temasya sukan serantau itu.

Persatuan-persatuan sukan kebangsaan sudah mengemukakan senarai nama atlet masing-masing pada awal Januari lepas, namun badan induk itu belum mengadakan mesyuarat jawatankuasa pemilihan untuk menyenarai pendek jumlah sukan dan atlet bagi menyertai Sukan Asia 2018 dijadual berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept.

Tarikh akhir bagi mengesahkan penyertaan pada temasya sukan berkenaan, melalui senarai nama atlet kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia  (INASGOC) adalah pada 30 Jun.

Pada Januari lepas, bekas Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata senarai akhir atlet negara ke temasya sukan itu akan diputuskan menjelang April.Presiden MFF Rusni Abu Hassan, bagaimanapun berharap MOM akan membuat keputusan dengan segera bagi membolehkan atlet mempunyai tempoh persediaan mencukupi dalam usaha meraih pingat pertama negara dalam sukan lawan pedang pada Sukan Asia.

“MFF berharap MOM akan meluluskan seberapa banyak atlet lawan pedang, kerana mengambil peluang Sukan Asia dianjurkan di negara jiran, dan ia memberi banyak kelebihan kepada kita.“Kita berharap MOM dapat mempertimbang sekurang-kurangnya memberi kategori A kepada atlet terbaik kita, Joshua Koh I-Jie.

Selebihnya, kita mungkin mempertimbang menghantar mereka melalui kategori B, meskipun kita terpaksa menanggung perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sukan disenaraikan dalam kategori A dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, manakala sukan diletakkan dalam kategori B perlu menggunakan peruntukan sendiri untuk beraksi di temasya sukan itu, dan akan dibayar semula jika mencatat keputusan terbaik.

Pada Sukan Asia edisi ke-18 itu, sejumlah 12 acara lawan pedang akan dipertandingkan dari 19 hingga 24 Ogos di Pusat Konvensyen Jakarta, melibatkan disiplin foil, epee dan sabre.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat pada Sukan Asia, berikutan tiga negara Asia Timur – China, Korea Selatan dan Jepun, sudah memenangi 82 peratus daripada keseluruhan 336 pingat yang ditawarkan pada 10 edisi temasya sukan berkenaan, sebelum ini.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia hanya meraih satu pingat gangsa menerusi epee individu lelaki melalui Joshua, manakala pada edisi 2015 di Singapura, skuad negara membawa pulang dua gangsa.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Lawan Pedang , MOM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan