Peransang S'gor menang anugerah juri - Sukan Ekstra | mStar

Peransang S'gor menang anugerah juri

Diterbitkan: Rabu, 25 April 2018 10:07 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) memenangi Anugerah Juri pada majlis makan malam  Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam.

Perangsang Selangor dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan julung kali oleh Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) itu didorong kejayaan mereka mewujudkan pelbagai program pembangunan sukan terutamanya di peringkat akar umbi di negeri itu melalui pelaksanaan program ‘Sukan Untuk Semua'.

Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya dengan kerjasama lapan penyedia latihan telah menganjurkan sejumlah 90 klinik sukan melibatkan perbelanjaan bernilai RM1.405 juta merangkumi sukan renang, sepak takraw, memanah, boling, bola sepak, lumba basikal, badminton dan skuasy di seluruh daerah.

“Perangsang Selangor turut menaja dua kejohanan bola sepak iaitu Piala Datuk Mokhtar Dahari (B-18) serta Piala Raja Muda Selangor (B-12) bagi mengetengahkan pemain bola sepak remaja ke peringkat yang lebih tinggi.

“Menerusi bimbingan jurulatih profesional, program Sukan Untuk Semua juga telah berjaya menggilap 174 bakat baharu untuk mewakili sekolah, negeri dan negara ke kejohanan sukan tempatan serta antarabangsa,“ katanya dalam kenyataan itu.

Raja Idris berkata hasil daripada Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari, seramai 38 pemain bola sepak telah diikat oleh beberapa pasukan bawah 19 tahun negeri dan kelab antaranya, Selangor, Johor Darul Takzim, Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) termasuk dua  pemain yang telah diserap ke pasukan kebangsaan. 

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, Perangsang Selangor akan terus komited dalam meneraju pembangunan sosial dan masyarakat yang mampan selaras dengan pelan perniagaan Kumpulan,” katanya.

Program ‘Sukan Untuk Semua' merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di bawah Rangsangan Sukan Selangor (RSS) anjuran Perangsang Selangor bertujuan memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat menceburi serta mempelajari ilmu sukan, menggalakkan gaya hidup sihat serta mencungkil bakat-bakat baharu daripada peringkat akar umbi.

Pada tahun lepas, seramai 10,103 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk yang kurang bernasib baik telah menyertai program tersebut. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Peransang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan