Peserta e-sukan perlu ikut peraturan MSN - Sukan Ekstra | mStar

Peserta e-sukan perlu ikut peraturan MSN

Diterbitkan: Sabtu, 14 April 2018 6:54 PM

Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain sukan elektronik atau ringkasnya e-sukan, tidak terlepas daripada menjalani rutin seperti atlet kebangsaan lain dan perlu mematuhi disiplin yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata e-sukan bukan lagi satu kegiatan sosial tetapi ia diiktiraf sebagai salah satu jenis sukan profesional yang akan membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

"Setelah mereka dipilih menjadi pemain kebangsaan, MSN akan menyediakan satu program latihan kepada mereka yang lebih spesifik ke arah penyertaan antarabangsa.

"Apabila menjadi satu sukan, atlet perlu tahu elemen paling penting adalah kekuatan mental dan kecergasan fizikal.

''Atlet e-sukan mesti berdisplin seperti atlet lain, kita pernah melakukan kepada atlet snuker dan biliard, dan kita mencapai satu standard yang dikehendaki, jadi e-sukan perlu melalui perkara yang sama," katanya ketika ditemui selepas pelancaran pemilihan pasukan kebangsaan e-sukan di Stadium E-Sports, Setapak, pada Sabtu.

Ahmad Shapawi menegaskan atlet e-sukan perlu juga menjaga disiplin, pemakanan serta kesihatan mereka jika diserapkan dalam kem kebangsaan.

Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) akan mengadakan pemilihan atlet melalui pertandingan yang akan berlangsung di Ipoh bersempena temasya Sukan Malaysia (Sukma), September ini.

Pertandingan itu melibat 15,000 penyertaan daripada 14 negeri, 30 kelab sukan elektronik daripada universiti dan kolej di seluruh negara.

Juara akan mewakili negara ke pertandingan antarabangsa dan menyertai program pembangunan atlet sukan elektronik selama setahun anjuran MSN dan ESM.

Antara permainan pilihan sukan itu adalah Dota 2, FIFA 18 dan Counterstrike.-Bernama

Tags / Kata Kunci: e-sukan , msn
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan