Nafiizwan pula kejutkan juara dunia - Sukan Ekstra | mStar

Nafiizwan pula kejutkan juara dunia

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2018 8:27 PM

Mohd Nafiizwan Adnan. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

GOLD COAST: Pemain skuasy lelaki utama negara, Mohd Nafiizwan Adnan, menghancurkan impian bekas juara dunia tiga kali, Nick Matthew, untuk merangkul pingat emas ketiga dalam Sukan Komanwel sebelum bersara Mei ini.

Dalam saingan suku akhir, Mohd Nafiizwan, yang menduduki ranking ke-35 dunia, terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan pemain pilihan utama dari England itu dengan 11-7, 6-11, 12-10, 4-11, 11-6 dalam pertarungan selama 81 minit.

Pada saingan separuh akhir, Ahad, Mohd Nafiizwan, 31, akan bertemu dengan pemain pilihan keempat yang juga dari England, James Willstrop.

Willstrop pula terpaksa mengharungi pertarungan sengit selama 95 minit sebelum mengalahkan pemain tuan rumah, Cameron Pilley, 7-11, 12-10, 7-11, 11-6, 11-6.

Sebelum ini, Matthew berusia 37 tahun dan pemain nombor ke-12 dunia telah menyatakan hasrat untuk menggantung raket selepas Terbuka British, Mei ini.

Beliau memenangi gelaran juara dunia pada 2010, 2011 dan 2013 dan juara Komanwel pada 2010 di New Dehli dan 2014 di Glasgow, Scotland.

Mohd Nafiizwan merupakan pemain negara kedua layak ke separuh akhir Sukan Komanwel selepas Azlan Iskandar pada edisi 2010.

“Nick (Matthew) adalah idola saya...sukar untuk mengalahkannya. Saya amat bangga untuk mara ke separuh akhir semenjak Azlan pada edisi 2010. Ini adalah hari yang terbaik dalam hidup saya,”katanya.

Katanya, beliau memberi kesungguhannya dengan sepenuh hati dan tidak menjangka kemenangan ini.

Mohd Nafiizwan berkata, beliau tetap fokus sepanjang permainan walaupun melihat lawannya terjatuh kerana kecederaan hamstring.

Nick pula mengakui beliau telah menampilkan aksi terburuk hari ini dan kecewa dengan kekalahan itu.

“Saya gagal memberi tekanan kepada lawan. Bagaimanapun, Mohd Nafiizwan berhak untuk menang kerana bermain dengan begitu baik sekali,” katanya.

Mohd Nafiizwan yang berpangkalan di Manchester, England, berkata beliau pernah bermain dengan Willstrop dalam beberapa siri latihan di Manchester.

"Kami saling mengenali kelemahan dan kekuatan  masing-masing serta melalui saingan suku akhir yang cukup mencabar. Bagaimanapun, saya akan memberi yang terbaik esok,” katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Mohd Nafiizwan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan