Sukan Komanwel: Kejayaan atlet angkat berat belum cukup yakinkan MSN - Sukan Ekstra | mStar

Sukan Komanwel: Kejayaan atlet angkat berat belum cukup yakinkan MSN

Diterbitkan: Jumaat, 6 April 2018 6:10 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejayaan atlet angkat berat meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada Khamis belum cukup menyakinkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyenaraikan semula sukan itu sebagai sukan teras negara.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail sekali lagi mengulangi tindakan MSN menggugurkan angkat berat dalam sukan teras sebelum ini bukan kerana prestasi atlet tetapi masalah disiplin yang kronik dalam kalangan atlet.

Beliau berkata kejayaan Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin, sepatutnya menjadi rangsangan dan motivasi kepada semua penggiat sukan tersebut untuk berusaha memerangi kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet mereka.

Azroy Hazal menyumbang pingat emas pertama negara dalam kategori 56kg serta memecah rekod kejohanan manakala Muhamad Aznil menang pingat emas kategori 62kg.

"Seperti mana kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin umumkan dan keputusan Lembaga Pengurusan MSN sebelum ini, keputusan menggugurkan angkat berat bukan kerana prestasi atlet  senior di kejohanan antarabangsa.

"Ia bergantung  kepada usaha  bersungguh-sungguh pihak persatuan  sukan kebangsaan dan negeri i serta penggiat sukan angkat berat seperti jurulatih dan atlet dalam memastikan tiada lagi isu penyalahgunaan dadah dalam sukan tersebut baik di peringkat antarabangsa mahupun di peringkat kebangsaan dan Sukan Malaysia,” katanya ketika di hubungi Bernama, pada Jumaat.

Ahmad Shapawi menjelaskan sekiranya pihak persekutuan tidak serius dalam memerangi isu dadah dalam kalangan atlet, sukan angkat berat berdepan  risiko besar iaitu bukan  sahaja digugurkan daripada sukan teras malah boleh digantung oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa ( IWF ).

Beliau menyeru pihak terlibat termasuk persatuan negeri perlu mengambil pendekatan agresif dalam melaksanakan kempen dan program antidoping yang serius dalam sukan itu.

"Cuba kita bayangkan kalau sukan tersebut digantung oleh IWF, kita bukan sahaja tidak boleh aktif dalam sukan tersebut malah kita juga akan kehilangan wira-wira negara yang tidak bersalah seperti Azroy Wafi dan Aznil,” katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan Komanwel , Datuk Ahmad Shapawi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan