LTdL2018: Mohd Harrif Puas Hati Tamatkan Kemarau Podium - Sukan Ekstra | mStar

LTdL2018: Mohd Harrif Puas Hati Tamatkan Kemarau Podium

Diterbitkan: Rabu, 21 Mac 2018 7:00 PM

Riccardo Minali (tengah) dari Astana Pro Team mengungguli peringkat keempat pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) dari Dungun ke Pekan, Pahang, sejauh 183.8 kilometer hari ini. Tempat kedua diraih Andrea Guardini (dua, kiri) daripada pasukan Bardiani CSF dan ketiga Mohd Hariff Saleh dari Terengganu Cycling Team (TSG). Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Pelumba pecut kebangsaan, Mohd Harrif Saleh puashati kerana berjaya menamatkan kemarau empat tahun untuk meraih kedudukan podium selepas menduduki tempat ketiga dalam peringkat keempat perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 di sini, pada Rabu.

Dia mencatat masa empat jam 10 minit dan 14 saat pada perlumbaan sejauh 183.8km dari Dataran Dewan Merdeka, Dungun ke Dataran Pekan, di sini, sekaligus muncul selaku pelumba terbaik Malaysia.

Untuk rekod, kali terakhir Mohd Harrif menaiki podium adalah pada LTdL 2012 dengan menyaksikan beliau menduduki tempat kedua di belakang pelumba Itali, Andrea Guardini pada peringkat kelapan sejauh 100.8km dari Pekan ke Chukai.

“Bagi saya, kejayaan ini adalah satu kepuasan untuk diri saya setelah kali terakhir naik podium dalam LTdL pada 2012 dan walaupun gagal menjuarai perlumbaan hari ini, saya berpuashati dengan keputusan ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan berkenaan.

Mohd Harrif yang pernah meraih kedudukan podium dalam beberapa edisi terdahulu, mendedahkan laluan perlumbaan hari ini agak mencabar selain beberapa pelumba cuba melakukan pemisahan (breakaway) dalam beberapa kilometer menuju ke garisan penamat.

Mohd Hariff yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada masa sama menjelaskan dia akan cuba membantu rakan sepasukannya untuk meraih kedudukan podium pada peringkat kelima, esok sejauh 169.4km dari Bentong ke Cameron Highlands.

Peringkat kelima yang dikenali sebagai ‘queen stage' menampilkan tiga zon pecutan di Sungai Koyan, Cheroh dan Raub sebelum disusuli dengan satu zon pendakian setinggi 1,105 meter dari aras laut di Ringlet.

Seorang lagi pelumba kebangsaan, Nik Mohd Azwan Zulkiflie pula optimis untuk mengekalkan jersi Putih yang dimenangi selepas peringkat ketiga semalam sambil tidak memandang mudah cabaran dari pelumba pasukan Jelajah Profesional Dunia (World Tour teams) menjelang peringkat kelima, esok (Khamis).

“Saya tengok kaki saya macam mana…  Kalau kuat, saya akan cuba memberikan saingan kepada pelumba lain.

“Astana Pro Team umpamanya ada seorang pakar pendakian dan saya akan cuba memerhatikan pergerakan beliau,” jelas Nik Mohd Azwan yang beraksi untuk pasukan benua Malaysia, Forca Amskins Racing.- Bernama

Tags / Kata Kunci: LTdL 2018 , Mohd Hariff
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan