Hoki Piala Dunia: Malaysia Di Laluan Sukar - Sukan Ekstra | mStar

Hoki Piala Dunia: Malaysia Di Laluan Sukar

Diterbitkan: Rabu, 28 Februari 2018 9:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara terpaksa cuba sedaya upaya untuk melepasi saingan peringkat kumpulan meskipun dilihat berdepan cabaran sukar pada pusingan akhir Piala Dunia di Bhubaneswar, India, dari 29 November hingga 16 Disember ini.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen berdepan dengan tugas getir untuk mara ke pusingan kedua setelah diundi bersama juara Eropah serta juara dunia tiga kali, Belanda, juara dunia dua kali, Jerman dan bekas juara dunia empat kali, Pakistan, dalam Kumpulan D.

Berdasarkan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam laman rasminya, www.fih.ch, Rabu,  skuad Malaysia Tigers  akan membuka kempen dengan menentang Belanda pada 1 Disember diikuti Pakistan (5 Dis) dan menamatkan perlawanan kumpulan dengan berdepan Jerman pada 9 Dis.

Menurut ranking dunia, Belanda, selaku naib juara edis lepas pada 2014, menduduki  tangga keempat, Jerman (kelima) dan Pakistan ke-13 manakala Malaysia di tangga ke-12.

Sementara itu, juara bertahan Australia, yang juga pasukan ranking pertama dunia, disenaraikan dalam Kumpulan B bersama England, Ireland dan China.

Mengikut format pertandingan Piala Dunia melibatkan 16 pasukan, juara daripada empat kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir manakala pasukan kedua dan ketiga dalam setiap pasukan akan ke pusingan kedua 'play-off' untuk memburu empat lagi slot dalam peringkat suku akhir.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung dari 1 hingga 9 Dis dikuti pusingan kedua 'play-off' pada 10 dan 11 Dis, suku akhir (12 dan 13 Dis), separuh akhir (15 Dis), tempat ketiga dan final pada 16 Dis. -bernama

KUMPULAN: A: Argentina, New Zealand, Sepanyol, Perancis

KUMPULAN B: Australia, England, Ireland, China

KUMPULAN C: Belgium, India, Kanada, Korea Selatan 

KUMPULAN D: Belanda, Jerman, MALAYSIA, Pakistan.

Tags / Kata Kunci: Piala Dunia , Hoki
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan