Tenang Hadapi Tekanan, Percaya Kebolehan Sendiri - Pengendali Malaysian Tigers - Sukan Ekstra | mStar

Tenang Hadapi Tekanan, Percaya Kebolehan Sendiri - Pengendali Malaysian Tigers

Diterbitkan: Isnin, 19 Februari 2018 2:41 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasukan joki negara tidak mensia-siakan masa yang ada ketika ini dengan merangka program latihan yang padat.

Pengendali skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen mengakui pelbagai program latihan yang sesuai telah dirancang demi memastikan pemainya berada dalam keadaan bersedia berdepan sebarang kejohanan.

Dalam masa yang sama, menurut bekas pemain antarabangsa berusia 58 tahun itu, perkara utama yang perlu dihadapi adalah tekanan.

Tahun ini skuad Malaysian Tigers ini bakal berdepan dengan tiga kejohanan besar yang menjadi fokus utamanya.

“Tekanan pastinya ada. Dan ia sebenarnya bagus untuk skuad kerana mereka boleh mempersiapkan diri dengan lebih rapi.

“Tekanan paling besar adalah fokus untuk meraih emas pada Sukan Asia ini (Ogos, Indonesia). Jika menang, kita boleh terus ke Sukan Olimpik.

“Apa yang selalu saya beritahu kepada pemain-pemain yang pastinya ada tekanan dalam setiap perlawanan supaya lebih tenang dan buat yang terbaik serta percaya kepada kebolehan sendiri,” ujarnya ketika ditemui mStar Online selepas sidang media pengumuman Astro Arena sebagai penyiar rasmi Piala Sultan Azlan Shah 2018, Isnin.

Van Huizen berkata, sukan berpasukan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan acara individu.

“Bagi sukan individu jika buat silap, kita tidak boleh bantu apa-apa kecuali diri sendiri.

“Tetapi sukan berpasukan ini jika ada buat kesilapan atau situasi dalam tekanan, rakan pasukan boleh bantu antara satu sama lain.

“Jika pemain junior ada buat silap, pemain senior akan ‘back up’, dan sebaliknya. Tidak ada dalam sesebuah pasukan yang sempurna.

“Kita boleh mudah mencari pemain yang mempunyai fizikal kuat, tahap kecergasan terbaik tetapi sukar untuk dapat pemain yang mempunyai mental yang mantap.

“Sebab itu peranan setiap pemain sangat penting dalam satu pasukan,” jelasnya yang berpuas hati dengan pemain-pemain di bawah bimbingannya setakat ini.

Mengenai saingan Piala Sultan Azlan Shah pada Mac ini, Van Huizen mengakui ia adalah perlawanan sulung tahun ini.

“Pasukan yang bertanding (5 negara) bukan calang-calang. Ini adalah platform terbaik untuk skuad negara mengkaji setiap sudut permainan.

“Perlawanan sebenar kita adalah Sukan Asia. Habis sahaja temasya ini baharulah kita akan fokus kepada Piala Hoki Lelaki Dunia (November, India),” jelasnya.

Enam pasukan termasuk Malaysia bersaing pada Piala Sultan Azlan Shah iaitu Australia, Argentina, England, India dan Ireland bermula 3 hingga 10 Mac ini.

Sebagai rekod, Malaysia kini berada di tangga kedua Asia di belakang India, manakala ke-12 untuk ranking dunia.

Tags / Kata Kunci: Stephen van Huizen , Malaysian Tigers
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan