Stadium Ragbi: KRM Tunggu Keputusan KBS, MSN - Sukan Ekstra | mStar

Stadium Ragbi: KRM Tunggu Keputusan KBS, MSN

Diterbitkan: Ahad, 21 Januari 2018 8:08 PM

Shahrul Zaman Yahya (dua, kiri) sewaktu acara penyampaian hadiah kepada Juara Kategori Perempuan Bawah 11 Tahun Pasukan Paya Rumput Melaka pada Karnival Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) 2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada Ahad. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) masih menunggu keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung lokasi stadium ragbi kekal pertama negara ini, yang akan dibina di Putrajaya.

Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata beliau dimaklumkan oleh KBS dan MSN bahawa dua lokasi di Putrajaya telah dikenal pasti bagi pembinaan stadium ragbi berkenaan yang kosnya dianggarkan sebanyak RM10 juta.

“Saya difahamkan pihak KBS dan MSN masih menunggu keputusan muktamad daripada Perbadanan Putrajaya tentang (lokasi) stadium ragbi… kita berharap Perbadanan Putrajaya dapat memberikan keputusan secepat mungkin kerana bajet sudah diluluskan untuk membina stadium itu,” katanya.

Shahrul berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP),  yang melabuhkan tirainya di Universiti Putra Malaysia (UPM) ,Serdang dekat sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata keputusan mengenai lokasi akan  dimaklumkan  oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin setelah mendapat persetujuan daripada Perbadanan Putrajaya.

KBS sebelum ini bercadang membina  sebuah stadium ragbi kekal bagi menghargai kejayaan Malaysia menjuarai Divisyen Satu Kejohanan  Ragbi Asia 2016 di Bukit Kiara.

Mengenai program NRDP itu, Shahrul berkata badan induk itu berpuas hati dengan penyertaan lebih 3,000 pelajar sekolah dari 235 sekolah di seluruh negara yang menyertai karnival berkenaan, yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di UPM.

”Saya sangat teruja dengan respons yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar sekolah dari seluruh negara baik di bawah program NRDP dan bukan di bawah program ini. Saya juga gembira kerana penglibatan lebih ramai pasukan wanita kali ini.

“Saya juga dimaklumkan penganjur bahawa ramai sekolah yang berminat mengambil bahagian namun terpaksa ditolak kerana kekangan penjadualan dan juga kekurangan padang,” jelas Shahrul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Perak. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Stadium Ragbi , KRM
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan