Kejayaan, Kontroversi Iringi Coretan 2017 - Sukan Ekstra | mStar

Kejayaan, Kontroversi Iringi Coretan 2017

Diterbitkan: Jumaat, 29 Disember 2017 3:01 PM

(Ubah saiz teks)

BUKU sukan negara 2017 telah dicoret dan kini hampir ditutup penuh bermakna, diiringi warna-warni kejayaan, isu dan kontroversi.

Coretan bermula dengan kisah bola sepak yang menyaksikan perubahan pucuk pimpinan tertinggi badan induk pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tunku Muda Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara rasminya diangkat sebagai Presiden FAM baharu pada Mac tahun ini.

Sejak itu, pelbagai perubahan baharu dibuat terutamanya dari segi pengurusan, perancangan  serta program pembangunan.

Sentuhan TMJ memberi harapan baharu kepada dunia bola sepak tanah air yang sentiasa ingin melihat perubahan dari akar umbi bagi memastikan sukan ini tidak terlalu jauh ketinggalan.

Biarpun terdapat segelintir yang masih 'berbunyi' dengan pengurusan baharu ini, TMJ yakin pengursan era baharu ini bakal memberi landskap berbeza berbanding sebelum 'pemerintahannya' di FAM.

Secara logiknya, peminat tidak boleh cepat melatah kerana beliau masih baharu di FAM, kurang dari setahun. Masih ada lagi beberapa tahun untuk dinilai. Sabar!

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Seterusnya sukan negara tahun ini diserikan dengan kejayaan atlet-atlet Malaysia yang menuai 145 emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, sekali gus menepati sasaran yang diharapkan.

Penerjun negara menyapu bersih 13 pingat emas yang dipertandingkan.

Sultan Mizan Zainal Abidin turut melakar sejarah negara apabila meraih pingat emas dalam acara Kuda Lasak Individu sekali gus memecah rekod Sukan SEA.

Turut membanggakan, pasukan olahraga mencatat rekod cemerlang dengan meraih lapan emas, berganda-ganda daripada jumlah pada Sukan SEA 2015 (tiga emas).

Mana mungkin dilupakan nama Adam Yoong Hanifah yang berusia sembilan tahun, yang menjadi pemenang pingat emas paling muda.Secara keseluruhannnya, kerja keras atlet negara berbaloi dengan kejayaan luar biasa di tempat sendiri.

Namun kejayaan itu sedikit tercemar dengan isu-isu doping melibatkan atlet negara.

Pingat emas penerjun  Wendy Ng Yee yang beraksi dalam acara 3 meter papan anjal ditarik balik kerana gagal dalam ujian doping (produk pelangsing badan).

Selain itu, di penghujung tahun ini, timbul pula kontroversi tiga acara digugurkan dalam senarai Sukan Teras yang menyaksikan tidak ada lagi aksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Acara itu adalah taekwando, angkat berat dan sepak takraw yang sehingga kini masih menjadi bualan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau mempunyai alasan sendiri mengapa tiga sukan tersebut digugurkan daripada sukan teras.

Malah, beliau tidak mahu melayan sebarang rayuan ketika ini dan menyerahkan kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyelesaikan perkara berbangkit.

Program Sukan Teras bermula pada 2005 dengan tujuan menambah penyertaan atlet dalam lapan sukan yang disenaraikan ketika itu - olahraga, akuatik - renang dan terjun, boling, bola sepak, badminton, hoki, skuasy dan gimnastik.

Belum pun reda isu Sukan Teras timbul pula kejutan apabila kontrak ketua jurulatih terjun dari China Yang Zhuliang tidak disambung.

Sekali lagi Khairy tampil dengan alasan bahawa timbul budaya dan persekitaran ketakutan atau 'culture and environment of fear'.

Cheong Jun Hoong

Kenyataan tersebut menjadi tanda tanya kepada atlet-atlet terjun negara yang ternyata tidak berpuas hati. Namun mereka terpaksa akur.

Jurulatih Zhang adalah individu penting yang membawa nama Malaysia ke mata dunia, termasuk memenangi pingat pada Sukan Olimpik.

Lebih jelas, juara dunia adalah dari Malaysia, iaitu Cheong Jun Hoong yang meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest Julai lalu.

Kembali kepada bola sepak, Liga Malaysia musim depan bakal menyaksikan lima pemain import dalam pasukan Liga Super.

Keputusan tersebut turut mendapat perhatian peminat bola sepak tanah air, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.

Begitu juga dengan isu Lesen Kelab yang wajib untuk semua pasukan Liga Super musim depan.

Dalam hal ini, Felda United menjadi mangsa pertama diturunkan ke Liga Perdana gara-gara tidak memenuhi syarat yang ditetapkan FAM walaupun berjaya menamatkan saingan di tempat ketika Liga Super musim 2017.

Apa yang pasti, cerita bola sepak tidak pernah diam walaupun prestasi skuad utama negara, Harimau Malaya masih terumbang-ambing. Harapan baharu diletakkan di bahu ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang dilantik menggantikan Nelo Vingada baru-baru ini.

Apa-pun, tinggalkan kisah duka 2017, bawa cerita positif ke tahun 2018.

Selamat Tahun Baru 2018!!

Tags / Kata Kunci: Sukan 2017
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan