Bola Jaring Patut Jadi Sukan Teras - PBJM - Sukan Ekstra | mStar

Bola Jaring Patut Jadi Sukan Teras - PBJM

Diterbitkan: Sabtu, 16 Disember 2017 8:49 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bola jaring patut disenaraikan antara sukan teras negara berikutan populariti yang diraih berserta prestasi cemerlang skuad kebangsaan di peringkat benua sepanjang tahun ini.

Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Datuk Suraya Yaacob berkata beliau berbangga dengan sokongan ditunjukkan peminat sukan tanah air terhadap skuad kebangsaan, sekali gus menaikkan semangat pemain untuk terus melakar kejayaan di peringkat  lebih tinggi.

“Cita-cita saya sekarang mahu masukkan bola jaring dalam senarai sukan teras negara.Tiga sukan - sepak takraw, taekwondo dan angkat berat sudah dikeluarkan daripada senarai tersebut.

“Jadi apa salahnya jika sukan wanita ini (bola jaring) disenaraikan. Mungkin kami boleh mempamerkan prestasi  lebih  baik dan mengharumkan nama negara di peringkat dunia,” katanya kepada pemberita selepas program bertemu peminat bersama pasukan bola jaring kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Sabtu.

Untuk rekod, Malaysia di bawah  kendalian Stacey Robinson muncul juara pada Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok, Thailand sekali gus menamatkan kemarau 31 tahun merangkul kejuaraan di peringkat benua itu, disusuli dengan pencapaian pingat emas Sukan SEA 2017, Ogos lepas.

Dalam usaha meningkatkan sukan bola jaring, Suraya berkata pihaknya akan mengadakan Piala Bola Jaring Evo yang bakal disertai 5,300 pemain dari 14 negeri.

Beliau berkata setiap kejohanan di peringkat negeri akan melibatkan 32 kelab, dan pasukan terbaik akan beraksi di final, Disember tahun depan di Kuala Lumpur.

“Kita adakan pertandingan sebegini bagi membolehkan pihak persatuan merekodkan jumlah pemain untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data bagi memudahkan hal pentadbiran.

“Sekiranya program tersebut berjaya, kita mahu perkenalkan kejohanan semi profesional bagi melahirkan lebih ramai pemain terbaik. Kita mahu wujudkan pasukan kelab supaya lebih profesional seperti bola sepak,” katanya.

Seramai 200 peminat hadir meraikan skuad bola jaring negara pada program berkenaan. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Bola Jaring , Sukan Teras
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan