Amirul Minta Khairy Pertimbang Keputusan Gugur - Sukan Ekstra | mStar

Amirul Minta Khairy Pertimbang Keputusan Gugur

Diterbitkan: Rabu, 13 Disember 2017 8:37 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Bekas jaguh angkat berat negara, Amirul Amizan Ibrahim memohon supaya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertimbangkan semula penguguran acara itu daripada sukan teras Majlis Sukan Negara (MSN).

Amirul Amizan berkata secara peribadi beliau masih berharap acara angkat berat dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, sekali gus dikekalkan untuk selamanya.

Katanya, Sukma antara platform terbaik untuk mengilap bakat baharu dalam bidang sukan, dan menjadi sasaran kepada atlet untuk mempamerkan kemahiran mereka bagi melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya sendiri mula dikenali daripada temasya SUKMA selepas merangkul pingat emas pertama buat diri saya pada tahun 1998 di Selangor. Saya berharap keputusan itu disemak semula,“katanya semasa dihubungi di sini, Rabu.

Selain Sukma 1998, Amirul Amizan juga memperoleh pingat emas pada edisi 2000 di Pulau Pinang dan 2002 di Sabah, selain dinamakan sebagai Olahragawan Pahang sebanyak tiga kali pada 2002, 2007/2008 dan 2009/2010.

Amirul juga pernah memperbaharui rekod kebangsaan bagi kategori 56kg apabila berjaya membuat angkatan beban 146kg dalam acara Clean  and  Jerk pada kejohanan Mini Olimpik 2009 di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Amirul Amizan, yang juga pemangku setiausaha Persatuan Angkat Berat Pahang itu, juga berpendapat Sukma menjadi medan mencari pelapis sukan selain terdapat negeri yang meletakkan sasaran dalam sukan tertentu yang menjadi kekuatan negeri itu.

"Pahang sendiri menyediakan 20 senarai atlet untuk dipilih bagi mewakili negeri yang dilihat berpotensi besar bagi menyumbangkan pingat.

"Separuh daripada atlet yang disenaraikan telah menunggu lebih empat tahun untuk menyertai kejohanan berkenaan," katanya.

Pada Selasa, Khairy mengumumkan angkat berat sebagai salah satu daripada tiga sukan yang digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Sukan itu turut digugurkan pada Sukma 2018 di Perak manakala penglibatannya dalam pelbagai program MSN dan Kementerian Pendidikan akan dihadkan.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Amirul Amizan Ibrahim , Angkat Berat
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan