Angkat Berat, Sepak Takraw, Taekwondo Digugur Sebagai Sukan Teras - Sukan Ekstra | mStar

Angkat Berat, Sepak Takraw, Taekwondo Digugur Sebagai Sukan Teras

Diterbitkan: Selasa, 12 Disember 2017 5:48 PM

Gambar fail taekwondo. Foto RAYMOND OOI/ The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Selasa mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membuat semakan semula termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan tersebut  sejak 2007.

Katanya, prestasi yang semakin merosot selain pelbagai masalah disiplin seperti kegagalan beberapa atlet sukan itu dalam ujian doping adalah punca utama angkat berat digugurkan, sementara sepak takraw dan taekwondo digugurkan kerana tidak menunjukkan peningkatan prestasi.

“Prestasi angkat berat negara semakin merosot dan atlet-atlet menghadapi masalah disiplin dengan tujuh kes doping dilaporkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) sejak empat tahun lepas. Sepak takraw pula dari aspek pembangunan tidak sangat diberi tumpuan dan ranking dunia digugat oleh negara-negara baharu.

“Pencapaian taekwondo kita pula sangat tidak  memuaskan. Sukan ini tidak mempamerkan pencapaian yang positif dan kemelut sukan taekwondo  masih gagal menyatukan penggiat sukan itu,” katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan 100PLUS bersama Bandar Sukan Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Selasa.

Sehubungan itu, Khairy berkata, tindakan itu menyaksikan tiga sukan terbabit turut digugurkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak serta penglibatan dalam pelbagai program MSN dan Kementerian Pendidikan akan dihadkan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan tindakan itu bukannya satu bentuk hukuman tetapi sebagai langkah demi menyelamatkan sukan-sukan tersebut selain mengakui pihaknya dan MSN akan bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan terbabit untuk membangunkan semula tiga sukan tersebut.

“Ini bukan hukuman tetapi satu keputusan dibuat berdasarkan prestasi sehingga kini yang menunjukkan mereka (persatuan) memerlukan bantuan untuk dibangkitkan semula dan sehingga mereka dapat membangunkan semula sukan masing-masing, wajar untuk digugurkan sebagai sukan teras.

“Namun, MSN akan bekerjasama rapat dengan persatuan-persatuan tersebut untuk kita bangunkan semula sukan-sukan berkenaan dan ada peluang untuk sukan-sukan itu dimasukkan semula sebagai sukan teras,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy memberi jaminan bahawa pengguguran itu tidak akan menjejaskan atlet sepak takraw yang berada di dalam Program Podium sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia. - Bernama

“Saya ingin memberi jaminan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bahawa atlet yang tersenarai dalam Program Podium, kekal dalam program itu. Ini disebabkan mereka merupakan atlet elit dan masih mempunyai peluang untuk mendapat kedudukan podium di Sukan Asia tahun depan,” katanya.
Tags / Kata Kunci: Angkat Berat , Sepak Takraw , Taekwondo
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan