Jun Hoong Fokus Bebas Kecederaan - Sukan Ekstra | mStar

Jun Hoong Fokus Bebas Kecederaan

Diterbitkan: Jumaat, 8 Disember 2017 4:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Fokus utama ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong bagi tahun depan ialah bebas daripada kecederaan, sekali gus mempamerkan aksi yang terbaik di temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Penerjun berusia 27 tahun berasal dari Perak itu, yang dibelenggu kecederaan di bahagian belakang badan yang berlarutan, berkata akan cuba sedaya upaya untuk meneruskan prestasi cemerlang selepas menjadi penerjun pertama Malaysia meraih gelaran juara dunia.

“Sekarang saya sedang menjalani rehab...Sasaran utama untuk tahun depan ialah bebas daripada kecederaan. Kalau nak kata bebas kecederaan sepenuhnya adalah mustahil, tetapi sekurang-kurangnya berharap masih boleh beraksi tanpa gangguan.

“Kalau sekurang-kurangnya boleh lompat dan terjun, ia dah cukup. Untuk tahun depan, tak kiralah apa pertandingan pun, saya akan berikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah dan Jamuan Malam MOM ke-24 pada Khamis malam.

Jun Hoong terdahulu menerima pingat dan hadiah wang tunai RM10,000 bersama Pandelela Rinong selepas dinobatkan sebagai Olimpian Wanita 2016 Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atas kejayaan pasangan itu meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio, tahun lalu.

Pelajar jurusan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga, tidak mahu memandang rendah cabaran negara lain pada Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April dan Sukan Asia Jakarta dan Palembang bermula Ogos tahun depan, walaupun bergelar juara dunia.

“Walaupun telah menjadi juara dunia, ia tidak bermaksud boleh meraih emas di Sukan Komanwel dan Asia dengan mudah kerana setiap kejohanan adalah permulaan yang baharu. Bukan senang untuk meraih emas kerana kedua-dua temasya ini mempunyai peserta yang kuat, terutamanya peserta China di Sukan Asia,” katanya.

Jun Hoong muncul juara dunia selepas menamatkan dominasi China untuk meraih pingat emas pertama negara di Kejohanan Akuatik Dunia dalam acara 10m platform di Budapest, Hungary pada Julai lepas.

Sementara itu, Pandelela yang turut menjangka cabaran sengit di kedua-dua temasya itu, berharap dapat meneruskan aksi konsistennya selepas dipilih sebagai Olimpian negara buat kali kedua, apabila meraih anugerah sama pada tahun 2012.

“Saya amat gembira dan bangga dapat memenangi anugerah ini sekali lagi kerana susah nak dapat. Saya rasa prestasi saya sepanjang tahun ini konsisten, berharap tahun depan boleh meningkatkan prestasi kerana cabaran lebih besar menanti di Sukan Komanwel dan Asia serta kejohanan lain,” katanya.- Bernama

Tags / Kata Kunci: Cheong Jun Hoong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan