Menang Emas, Atlet Sendirian Nyanyi Lagu Kebangsaan

Diterbitkan: Sabtu, 28 Oktober 2017 3:24 PM

(Ubah saiz teks)

ATLET judo Israel yang menang pingat emas dalam satu pertandingan terpaksa bersendirian menyanyikan lagu kebangsaan negaranya secara perlahan, tanpa iringan muzik dan tanpa bendera negara semasa majlis penyerahan pingat, selepas penganjur bertegas dengan keputusannya.

Tal Flicker, yang menduduki ranking nombor satu dunia dalam kategori bawah 66 kilogram (L), menang emas pada Khamis, dalam kejohanan Judo Grand-Slam di Abu Dhabi.

Tetapi ketika dia naik ke podium untuk menerima pingat, penganjur kejohanan bertindak memainkan lagu rasmi Persekutuan Judo Antarabangsa (IJF) sambil menaikkan bendera IJF.

Ketika itu, dia yang berada di podium dapat dilihat menyanyikan lagu kebangsaan Israel, Hatikvah, dengan perlahan.

Flicker perlu bersaing di bawah bendera IJF selepas Emiriah Arab Bersatu mengharamkan atlet Israel daripada menggunakan simbol negara mereka pada pakaian, melarang atlet negara itu daripada mempamerkan bendera dan bertegas untuk tidak memainkan lagu kebangsaan Israel semasa acara tersebut.

UAE, seperti kebanyakan negara Arab lain, tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan terus menentang pendudukan di tanah Palestin.

Kejadian minggu ini berlaku selepas IJF menuntut agar UAE melayan atlet Israel sama rata, tetapi UAE tetap dengan pendiriannya.

Surat daripada IJF kepada presiden Persekutuan Judo UAE yang diperoleh The Associated Press menyatakan bahawa 'semua delegasi, termasuk delegasi Israel, seharusnya dilayan dengan sama rata dalam semua aspek, tanpa pengecualian'.

Ini bukan kali pertama perwakilan Israel dipinggirkan dalam acara sukan antarabangsa.

Atlet Judo Mesir enggan bersalam dengan lawannya dari Israel di Olimpik Rio tahun lalu dan persekutuan tenis Tunisia mengarahkan pemain utama negara itu menarik diri daripada bertanding melawan Israel pada kejohanan tahun 2013. -abcnet

Tags / Kata Kunci: judo , Tal Flicker

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan