Kepulangan Jun Hoong Disambut Meriah - Sukan Ekstra | mStar

Kepulangan Jun Hoong Disambut Meriah

Diterbitkan: Isnin, 24 Julai 2017 6:49 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kepulangan juara dunia, Cheong Jun Hoong disambut meriah peminat sukan tanah air dan pegawai kanan termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Turut hadir ahli keluarga penerjun berusia 27 tahun itu iaitu bapanya, Cheong Sun Meng, Leow Lai Kun (ibu) dan adik-beradiknya.

Pada Rabu lalu, Jun Hoong melakar sejarah apabila mengejutkan pemenang pingat emas dan perak, Sukan Olimpik Rio, Si Yajie dan Ren Qian dari China.

Penerjun kelahiran Ipoh, Perak itu menjadi penerjun pertama negara memenangi pingat emas pada Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary.

Sebuah pentas turut dibina untuk majlis yang diadakan di balai ketibaan KLIA bagi meraikan kepulangan atlet paralimpik yang juga juara dunia bagi acara lontar peluru, Ziyad Zolkepli dan Latif Romly (lompat jauh) selain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara yang layak ke pusingan akhir kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23.

Ziyad, Latif dan skuad B-22 negara dijangka tiba pada pukul 6 petang Isnin.

Jun Hong yang diiringi ke pentas oleh ketua jurulatih Yang Zhuliang dan rakan pasukan turut terharu dengan sambutan luar biasa itu.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada hari ini. Kehadiran anda amat bermakna bagi saya," kata Jun Hoong.

Tags / Kata Kunci: Cheong Jun Hoong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan