Jun Hoong Masih Tak Percaya

Diterbitkan: Khamis, 20 Julai 2017 3:14 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Atlet terjun Malaysia, Cheong Jun Hoong masih tidak percaya dia kini bergelar juara dunia selepas meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.

"Oh Tuhan, saya juara dunia! Sudah tentu ia mimpi menjadi kenyataan.

"Ia adalah pingat emas pertama negara pada kejohanan itu. Ia diluar jangkaan dan sukar untuk saya mempercayainya," kata Jun Hoong.

Menurut atlet kelahiran Ipoh, Perak itu, dia fikir peluangnya untuk menang agak tipis kerana dua penerjun China, Si Yajie dan Ren Qian merupakan pemenang pingat perak dan emas Sukan Olimpik, Rio 2016.

"Saya mengharapkan pingat, tetapi saya fikir sukar untuk menundukkan penerjun China. Saya hanya kekal fokus untuk diri sendiri dan melihat papan mata selepas terjunan terakhir Si Yajie, jadi lepas itu baharulah saya menyedari kemenangan saya," katanya.

Jun Hoong menjadi penerjun pertama menang pingat emas buat negara sepanjang penyertaan atlet dalam Kejohanan Akuatik Dunia berkenaan.

Penerjun berusia 27 tahun itu memenangi pingat emas selepas meraih 397.50 mata, menumpaskan juara Olimpik, Ren Qian yang sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa (391.95 mata).

Pada kejohanan edisi 2015, Qian memenangi pingat perak acara itu.

Seorang lagi penerjun dari China, Si Yajie meraih pingat perak di belakang Malaysia dengan kutipan 396.00 mata.

Lebih manis, Jun Hoong berjaya memecah dominasi jagoan China dalam acara 10 meter platform wanita berkenaan.

Tags / Kata Kunci: Cheong Jun Hoong

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan