Acara Keirin Tidak Diboikot

Diterbitkan: Isnin, 3 Julai 2017 5:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada Isnin mengesahkan acara berbasikal trek keirin tidak diboikot atau disabotaj pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata sembilan pelumba, termasuk jaguh keirin negara Mohd Azizulhasni Awang sudah mengesahkan penyertaan mereka selepas tarikh tutup penyertaan, Jumaat lepas.

"Apabila Mohd Azizulhasni mengesahkan kemungkinan hanya menyertai satu acara iaitu keirin pada Sukan SEA 2017, ramai membuat tanggapan kononnya ada negara di Asia Tenggara akan memboikot atau melakukan sabotaj.

"Keirin elit lelaki boleh diisytiharkan sebagai tidak sah sekiranya hanya dua negara menyertai acaratersebut. Sekiranya ini berlaku, peluang Mohd Azizulhasni untuk merangkul pingat emas akan berkecaidalam sekelip mata," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Acara berbasikal Sukan SEA ke-29 menawarkan keseluruhan 20 pingat emas-13 dalam acara trek, lima bagi acara lebuh raya serta dua untuk acara BMX.

Dalam pada itu, Abu Samah berkata Malaysia, Thailand dan Indonesia menyertai kesemua 20 acara yang dipertandingkan, diikuti Singapura (18 acara), Brunei (11 acara) manakala Timor Leste muncul negara tunggal tidak menghantar sebarang penyertaan dalam acara sukan berkenaan.

Beliau berkata acara lepas beramai-ramai elit lelaki merupakan acara paling popular kerana menerima penyertaan membabitkan 55 pelumba, diikuti kriterium yang mendapat sambutan daripada 50 pelumba.

"Ada 55 pelumba akan menyertai acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Saya berasa bangga kerana acara ini sememangnya sangat popular di rantau Asia Tenggara. Saya mengharapkan Malaysia akan menang pingat emas dalam acara ini.

"Acara kriterium pula menjadi kedua paling popular dengan penyertaan 50 pelumba dan kita akanberusaha keras untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu. Saya harap pelumba Malaysia tahu apa yang mereka perlu lakukan," katanya.

Bagi kategori lebuh raya, sebanyak tiga acara dipertandingkan melibatkan kriterium, acara lepas beramai-ramai dan ujian masa berpasukan manakala BMX mempertandingkan acara lumba elit lelaki dan wanita.

Disiplin trek pula melibatkan acara pecut elit lelaki dan wanita, individu kejar-mengejar, berpasukan kejar-mengejar, ujian masa 500 meter, ujian masa individu 1 kilometer, keirin, berpasukan pecut, scratch race dan omnium. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: acara keirin , Sukan SEA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan