KL2017: Azizul Sah Beraksi Dua Acara

Diterbitkan: Selasa, 6 Jun 2017 7:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara dunia bagi acara keirin Mohd Azizulhasni Awang sah akan beraksi dalam dua acara iaitu keirin dan pecut pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur.

Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Omar Saad berkata, penyertaan Azizul dalam dua acara itu juga adalah hasil cadangan daripada jurulatih berbasikal negara John Beasley.

"Beliau yang mahukan Azizul sertai dua acara berkenaan," katanya kepada pemberita pada mesyuarat pengurus pasukan menjelang Sukan SEA Ke-29 di Wisma OCM di sini, Selasa.

Omar juga mengesahkan Mohd Shah Firdaus Shahrom akan beraksi dalam acara keirin, ujian masa 1 kilometer pecut berpasukan, manakala Muhammad Fadil Mohd Zonis, Muhammad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Muhammad Khairil Nizam Rasol kan mengisi tiga lagi slot dalam acara pecut berpasukan.

Ratu berbasikal negara Fatehah Mustapa pula akan beraksi dalam empat acara iaitu pecut berpasukan, pecut, keirin dan ujian masa 500 meter dan beliau merupakan pelumba basikal negara yang paling banyak mengambil bahagian dalam Sukan SEA kali ini.

"Fatehah menjadi sandaran kita untuk menyumbang emas dan kita mengharapkan keempat-empat acara itu beliau mampu untuk menyumbang pingat emas kepada kontingen negara," kata Omar.

Dalam pada itu, pasukan lumba basikal jalan raya negara bakal dibarisi oleh Harif Salleh, Anuar Manan, Mohd Zamri Salleh, Muhd Adiq Hussaini Othman dan Shahrul Mat Amin.

Menurut Omar, sasaran yang berikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada PKMB adalah sebanyak 13 pingat emas dan dua daripadanya ialah dari acara jalan raya.

Selain itu turut dikenal pasti ialah beberapa acara trek yang boleh menyumbang emas terutama dalam acara pecut dan keirin.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Azizul Hasni Awang , KL2017

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan