Sir Chris Hoy Puji Jijoe

Diterbitkan: Jumaat, 14 April 2017 9:11 PM

Chris Hoy ketika Olimpik 2008 di Beijing.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas dan muncul juara dunia acara Keirin di Hong Kong Velodrome Park mendapat pujian banyak pihak.

Lebih istimewa pujian turut diterima daripada bekas pencabar dan idola beliau sendiri iaitu Sir Chris Hoy dari Great Britain.

Hoy, yang mewakili Great Britain pada Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia, serta Scotland di Sukan Komanwel, dalam Twitter beliau, berkata beliau kagum dan  gembira dengan pencapaian pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

"Kemenangan yang sangat bermakna dan berbaloi. Bertahun-tahun kami terlibat dalam persaingan sengit! Bravo dan berbanggalah memakai jersi pelangi @AzizulAWANG," kata Hoy dalam akuan Twitter beliau.

Paparan skrin daripada Twitter Chris Hoy.

Hoy merupakan juara dunia sebanyak 11 kali dan juara Olimpik enam kali.

Kejayaannya meraih tujuh pingat Olimpik - enam emas dan satu perak, menjadikan Hoy adalah pelumba berbasikal kedua paling cemerlang dalam Sukan Olimpik.

Mohd Azizulhasni menampilkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, semalam.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu berdepan tentangan sengit daripada lima pelumba lain, sebelum melintasi garisan penamat untuk meraih pingat emas dalam perlumbaan yang berlangsung di Hong Kong Velodrome Park.

Pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata memenangi pingat perak, manakala gangsa milik Tomas Babek dari Republik Czech.

Untuk rekod, Mohd Azizulhasni hanya memperoleh pingat perak pada 2010 di Denmark, selain memenangi gangsa, dua kali - di Perancis pada 2015 dan 2016 di United Kingdom dalam acara keirin.

Pelumba kelahiran Terengganu itu juga memenangi pingat perak dalam acara pecut pada 2009 di Poland.

Tags / Kata Kunci: Azizulhasni Awang , Chris Hoy

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan