Faizal Saari Terpaksa Digugurkan Ke Dhaka

Diterbitkan: Selasa, 28 Februari 2017 9:01 PM

Faizal Saari.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Penyerang berpengalaman skuad kebangsaan, Faizal Saari terpaksa digugurkan pada saat-saat akhir daripada menyertai pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka, Bangladesh yang berlangsung 4-12 Mac ini.

Faizal diketepikan kerana masih bergelut dengan kecederaan hamstring di paha kanan yang dialaminya sewaktu perlawanan akhir Piala TNB antara Terengganu Hockey Team (THT) menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada Ahad lepas.

Ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen enggan mengambil sebarang risiko dan telah memanggil Muhamad Ramadan Rosli bagi menggantikan tempat Faizal.

"Faizal tidak turut serta ke Dhaka, beliau sudah melakukan imbasan serta MRI pada pahanya di MSN (Majlis Sukan Negara) semalam (Isnin) dan masih mengalami kecederaan.

"Jadi kita membuat keputusan untuk membawa Ramadan. Siapa pun pemain yang kita bawa, saya percaya mereka mampu membawa cabaran negara," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Dhaka, Selasa.

Pasukan negara dilihat mempunyai harapan cerah melayakkan diri ke perlawanan akhir di mana Malaysia diundi berada dalam Kumpulan A bersama Fiji, Oman dan tuan rumah, Bangladesh.

Dua pasukan yang beraksi di pentas akhir akan melayakkan diri ke pusingan ketiga Liga Hoki Dunia yang akan menjadi medan bagi merebut tempat ke Piala Dunia London 2018. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Faizal Saari , Liga Hoki Dunia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan