SAM Diminta Terus Aktif Dalam Menjayakan TN50 - Sukan Ekstra | mStar

SAM Diminta Terus Aktif Dalam Menjayakan TN50

Diterbitkan: Selasa, 21 Februari 2017 5:30 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) bersama kepimpinan Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Putrajaya, Selasa.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Selaras dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang meletakkan sukan sebagai agen penyatuan rakyat, Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) akan menggalas tanggungjawabnya dalam menjayakan agenda ini.

Presidennya Ahmad Khawari Isa berkata sukan yang dilihat mampu memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan SAM terus memainkan peranannya melalui penulisan.

"SAM akan memainkan peranan khususnya di peringkat kepimpinan dan juga ahli-ahli untuk memastikan peranan media sukan ini mampu mencipta dan melahirkan 'sense of belonging' (rasa kekitaan) yang lebih kuat di kalangan rakyat Malaysia.

"Mesej utama daripada Datuk Seri Ahmad Zahid, beliau mahukan SAM memainkan peranan aktif dalam menjayakan (TN50)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas timbalan perdana menteri di pejabatnya, bersama beberapa lagi pimpinan persatuan di sini, Selasa.

"SAM melalui wadah sukan diminta menghasilkan penulisan berkesan di mana sukan diletakkan sebagai agen penyatuan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kunjungan tersebut, Ahmad Khawari berkata ia bertujuan untuk menjemput Ahmad Zahid menjadi tetamu kehormat pada Kongres Persatuan Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) dan juga Anugerah SAM 2016 yang akan berlangsung minggu hadapan.

Katanya, Ahmad Zahid telah bersetuju untuk hadir dan bakal memberi amanat khas terutamanya kepada delegasi Kongres AIPS Asia.

Beliau menambah, timbalan perdana menteri juga menjanjikan sokongan dari segi suntikan dana dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, yang akan menyediakan lorong khas untuk delegasi.

Bagaimanapun, Ahmad Khawari, yang juga Naib Presiden AIPS Asia berkata jumlah dana masih belum diketahui.

Katanya, ini adalah pertama kali Malaysia dan SAM menjadi tuan rumah kongres berkenaan dan beliau amat berpuas hati apabila perwakilan dari 31 buah negara telah mengesahkan penyertaan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan