Sukan SEA: Jefri, Kumaresan Dilantik Timbalan Ketua Kontinjen Negara

Diterbitkan: Selasa, 14 Februari 2017 11:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pelantikan dua timbalan ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos.

Mereka ialah Pemangku Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin dan bekas atlet berbasikal kebangsaan, M. Kumaresan.

Timbalan Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kedua-dua mereka merupakan individu yang menunjukkan komitmen tinggi serta boleh memberi kerjasama yang baik kepada ketua kontinjen negara, Datuk Marina Chin.

"Mereka yang dipilih ini merupakan individu yang mampu bekerjasama dan  paling penting, mereka sehaluan dengan Marina.

"Kita harap pelantikan kedua-dua individu ini mampu membantu Datuk Marina memastikan persediaan atlet dalam menghadapi Sukan SEA berada pada tahap terbaik," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, Selasa.

Norza turut menjelaskan pelantikan itu juga bertujuan memastikan segala persiapan Sukan SEA berada dalam keadaan terbaik, sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia untuk muncul juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu.

"Tugas dipikul Datuk Marina tanggungjawab yang berat, oleh itu pelantikan mereka sesuatu yang tepat terutamanya dalam memastikan segala persiapan yang mempunyai fasa-fasa yang telah ditetapkan berjalan lancar," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu mesyuarat Exco Sukan SEA bertujuan memaklumkan segala perkara terperinci berkaitan persiapan terkini temasya sukan itu akan diadakan pada akhir Mac ini.

"Mesyuarat bakal dihadiri wakil kesemua 11 negara itu merupakan waktu paling tepat diadakan untuk kita memberitahu tentang segala perkara penting seperti persiapan, kemudahan atlet, venue pertandingan dan sebagainya," kata beliau.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan SEA , Kumaresan , MOM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan