Zanotti Juara Golf Maybank Malaysia 2017

Diterbitkan: Ahad, 12 Februari 2017 6:04 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Melakukan pukulan eagle di lubang terakhir menyaksikan Fabrizio Zanotti dari Paraguay berjaya merangkul kejuaraan pada Kejohanan Golf Maybank Malaysia di Saujana Golf and Country Club di Subang,yang berakhir pada Ahad.

Berikutan kejayaan itu, Zanotti menerima US$500,000 (US$1 = RM4.60) serta trofi berprestij daripada Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd.

"Ketika di lubang ke-15, saya mula merasakan mempunyai peluang untuk menang sebaik melakukan birdie. Saya rasakan jika melakukan dua lagi birdie, saya berpeluang merangkul kejuaraan, namun dengan satu birdie dan satu eagle menjadikannya lebih hebat.

 "Saya sungguh gembira kembali menjadi pemenang. Saya telah berusaha keras tetapi prestasi saya tidak begitu baik apabila terlepas tiga 'cut' berturut-turut...namun itu sudah berlalu dan hari ini saya kembali sebagai juara," kata Zanotti. 

Juara Terbuka Antarabangsa BMW 2014 itu mempamerkan prestasi mengagumkan hari ini apabila melakukan tujuh birdie untuk mencatat keseluruhan sembilan bawah par 269 dalam saingan yang berlangsung selama empat hari itu.

David Lipsky dari Amerika Syarikat meraih tempat kedua apabila mensia-siakan peluang setelah melakukan dua bogey di lubang keenam dan ke-14 untuk mencatat keseluruhan 270 pukulan.

"Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan pencapaian ini. Matlamat saya untuk berada dalam kelompok tiga terbaik atau memastikan dapat beraksi di Kejohanan Golf Dunia di Mexico, dan saya berjaya melakukannya. 

"Terdapat banyak cerun dan garisan di lapangan ini, dan di penghujung saingan sedikit berbonggol, maka agak sukar bagi saya menentukan garisan, dan apa yang anda perlu buat ia melakukan pukulan yang baik," kata Lipsky.

Pendahulu hari kedua, Bernd Wiesberger dari Austria kembali bangkit pada hari terakhir selepas mencatat enam birdie dan satu eagle di lubang kelapan bagi membolehkannya menduduki tempat ketiga, satu pukulan di belakang Lipsky.

"Prestasi saya biasa-biasa sahaja hari ini, saya tidak bermain dengan begitu baik...saya berdepan beberapa masalah selepas permulaan yang baik dengan melakukan birdie di tiga daripada empat lubang pertama," kata Wiesberger.

Dalam kalangan pemain Malaysia, Ben Leong muncul pemain terbaik hari ini setelah melakukan enam birdie, namun terlepas beberapa mata selepas mencatat tiga bogey untuk menamatkan cabaran dengan keseluruhan tiga bawah par 279.

"Catatan bawah par di padang golf ini satu pencapaian yang hebat. Saya melakukan beberapa pukulan yang baik dan juga tidak memberangsangkan...namun secara keseluruhan tidaklah begitu teruk.

"Keputusan ini sangat penting bagi saya setelah terlepas dua 'cut' pada Jelajah Asia. Saya perlu melakukan yang terbaik bagi memperbaiki kembali ranking dalam Order of Merit dan saya berjaya melakukannya," kata pemain ranking kelima Malaysia itu.

Rakan senegaranya iaitu pemain amatur Daeng Abdul Rahman mencatatkeseluruhan 285 pukulan, Gavin Green (285), Nicholas Fung (285), Danny Chia (287) dan Arie Irawan (297). -Bernama

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan