Lima Zon Pembersihan Wabak Denggi Diwujudkan Di Bukit Jalil

Diterbitkan: Selasa, 31 Januari 2017 9:30 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lima zon pembersihan di Bukit Jalil, di sini diwujudkan bagi membersihkan tempat yang disyaki menjadi pusat pembiakan nyamuk aedes khususnya di sekitar Kompleks Sukan Negara.

Ia membabitkan zon satu iaitu kawasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN); zon dua (kawasan tapak pembinaan Bandar Sukan Kuala Lumpur).

Zon tiga (Sekolah Sukan Bukit Jalil), zon empat (kawasan tapak pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia) dan zon lima (sekitar Sungai Kuyoh).

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali berkata Jawatankuasa Bertindak bagi Pembasmian Denggi yang dianggotai wakil MSN, ISN, KBS, Perbadanan Stadium Malaysia dan Kementerian Kesihatan akan menyelaraskan pemantauan dan pembersihan di semua zon terbabit.

"Jawatankuasa yang ditubuhkan 29 Jan lepas akan merangka dan melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi menangani penularan wabak denggi yang berlaku di kawasan sekitar Kompleks Sukan Negara," katanya.

Lokman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat jawatankuasa berkenaan di MSN, di sini Selasa.

Beliau menjelaskan penularan wabak denggi di sekitar Bukit Jalil disebabkan kekerapan hujan, sekali gus menjejaskan usaha pencegahan dan pemantauan seperti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes dan semburan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail memaklumkan dua daripada tiga pesakit warga sukan negara masih menerima rawatan di Hospital Serdang selepas disyaki menghidap wabak denggi yang melanda kawasan Bukit Jalil.

"Seorang lagi pesakit yang merupakan atlet telah dibenarkan keluar wad pada tengah hari tadi," katanya.

Ahmad Shapawi menjelaskan sebanyak 17 kes berkaitan demam denggi direkodkan dengan sembilan kes melibatkan pegawai dan kakitangan MSN serta ISN yang tinggal di Vista MSN, Bukit Jalil.

Bakinya merupakan atlet dan jurulatih yang tinggal di sekitar Sekolah Sukan Bukit Jalil, Casa MSN dan asrama Technology Park Malaysia, katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan atlet yang menjalani latihan di kawasan terbuka di sekitar Bukit Jalil untuk membuat penjadualan semula mengenai waktu latihan bagi mengelakkan mereka daripada terkena demam denggi.

Sementara itu, Ketua Sektor Penyakit Bawaan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Rose Nani Mudin memaklumkan pihaknya melakukan tujuh pemeriksaan di sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur yang disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Bernama pada Isnin melaporkan dua pemain bola sepak, seorang jurulatih dan dua pegawai MSN dimasukkan ke hospital selepas disyaki menghidap demam denggi, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai penularan demam itu di Bukit Jalil.

Jumaat lepas, pengurus MSN bagi pasukan Paralimpik negara Mohd Nor Izuwan Mohd Ariffin yang tinggal di Vista MSN menjadi korban pertama wabak denggi di Kompleks Sukan Negara apabila meninggal dunia akibat demam denggi berdarah.
Tags / Kata Kunci: zon pembersihan , wabak denggi , MSN

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan