Aaliyah Antara 27 Peserta Wanita Dipilih Sertai Kejohanan Dunia

Diterbitkan: Khamis, 15 Disember 2016 10:35 PM

Aaliah Yoong Hanifah.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah dipilih dalam kalangan 27 peserta wanita yang akan menyertai Kejohanan Dunia 2017 di Wroclaw, Poland dari 22 hingga 29 Julai.

Aaliyah, 13, menerima jemputan daripada Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) melalui Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) pada Rabu untuk bersaing dalam acara tricks.

MWWF dalam kenyataan pada Khamis berkata ia merupakan satu pencapaian besar bagi Aaliyah yang mencatat satu lagi sejarah untuk menjadi pemain ski air termuda yang dipilih bersaing pada kejohanan dunia itu.

MWWF dan Aaliyah mempunyai tempoh sehingga 19 Disember ini untuk mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan.

Aaliyah yang memenangi lima pingat emas pada Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Asia di Korea Selatan pada Ogos lepas, berada di kedudukan ke-21 dunia dalam acara tricks bagi kategori wanita terbuka dan nombor enam dunia bagi bawah 17 tahun.

Dengan setiap negara dibenarkan menghantar seorang atlet pada kejohanan itu, Aaliyah memintas beberapa pemain ski air terbaik dunia seperti pemain nombor tiga dunia Erika Lang dari Amerika Syarikat dan pemain nombor lima dunia dari Kanada, Whitney McClintock untuk mengesahkan slot di Wroclaw.

"Saya sangat teruja dipilih. Ia penghargaan besar bagi saya kerana ini kali pertama saya dipilih untuk menyertai acara pelbagai kategori di peringkat dunia," kata Aaliyah dalam kenyataan yang dikeluarkan MWWF, di sini Khamis.

Pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2015 itu akan berlepas ke Santiago, Chile pada 29 Disember untuk bersaing pada Kejohanan Remaja Dunia IWWF bermula 3 hingga 8 Januari depan.

Aaliyah juga dijadual beraksi pada Kejohanan Asia Oceania IWWF di Auckland, New Zealand pada 1 hingga 6 Februari, dan Moomba Masters di Melbourne, Australia pada Mac.

Beliau kemudian akan berlepas ke Florida pada April untuk latihan selama enam minggu bersama bekas juara dunia Cory Pickos dan bersaing di Masters Amerika Syarikat pada Mei, dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Aaliyah Yoong Hanifah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan