Isu Sarawak Guna Khidmat Pemain Sepak Takraw Luar Selesai Secara Baik

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2016 6:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Isu pasukan sepak takraw wanita Sarawak menggunakan khidmat tiga pemain Indonesia semasa temasya Sukan Malaysia (Sukma) Julai lalu diselesai dengan cara baik, kata Menteri Muda Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, beliau yang dilantik sebagai ketua misi kontinjen Sarawak sebulan sebelum temasya sukan itu bermula hanya mendapat tahu mengenai khidmat tiga pemain dari Indonesia itu termasuk seorang pemain kebangsaannya semasa temasya sukan itu sedang berlangsung di Kuching.

Katanya, sebaik mendapat tahu perkara itu beliau segera mengarahkan ketiga-tiga pemain terbabit direhatkan dan tidak diturunkan ketika regu Sarawak bertarung di separuh akhir.

Abdul Karim turut melahirkan rasa kesal beliau kerana insiden seumpama itu sepatutnya tidak berlaku, dan menambah kata ia berlaku mungkin kerana keghairahan pegawai-pegawai terlibat untuk memastikan pasukan itu memenangi pingat.

Saya sudah menegur pegawai terlibat dan perkara ini diselesaikan secara baik dengan semua pengurus pasukan yang terlibat dalam acara sepak takraw semasa Sukma lalu, kata Abdul Karim ketika diminta menjelaskan insiden itu dalam sidang akhbar di sini Khamis.

Abdul Karim berjanji akan memastikan perkara seumpama itu tidak akan berulang lagi dan menambah kata bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap pegawai dan persatuan sepak takraw negeri berikutan kejadian itu.

Katanya usaha sedang digerakkan untuk mencari pemain tempatan yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad negeri bagi menghadapi Sukma 2018.

Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Kameri Affandi berkata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak yang juga Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr Ong Kong Swee telah mengadakan mesyuarat bersama wakil persatuan sukan negeri baru-baru ini bagi membincangkan persiapan menghadapi Sukma 2018.

Mengenai pengambilan jurulatih asing bagi menghadapi Sukma 2018, beliau berkata ketika ini Sarawak menggunakan khidmat jurulatih asing bagi sukan memanah, wushu, gimnastik, taekwondo, sepak takraw dan tinju. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Abdul Karim Rahman Hamzah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan