Wira Paralimpik Perlis Terima Insentif RM200,000

Diterbitkan: Khamis, 1 Disember 2016 4:15 PM

MENTERI BESAR Perlis Datuk Seri Azlan Man (tengah) bergambar bersama dua wira Paralimpik negara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (dua,kiri) dan Abdul Latif Romly (dua,kanan) yang menerima buku pelaburan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dengan insentif bernilai RM100,000 daripada Kerajaan Negeri Perlis di Bangunan Permodalan Nasional Berhad pada 1 Disember 2016.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis Abdul Jamil Saad (kanan) dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri). Kedua-dua anak jati Perlis itu telah mengharumkan nama negara di temasya Sukan Paralimpik 2016, Rio de Janeiro pada September lalu. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Perlis pada Khamis menyerahkan insentif berjumlah RM200,000 kepada dua wira paralimpik kelahiran negeri itu yang telah mengharumkan nama negara pada temasya Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil.

Dua wira berkenaan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly masing-masing menerima RM100,000 yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputra 2 (ASB2).

Insentif disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan turut disaksikan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Tuan Abdul Jamil Saad.

"Inilah janji kerajaan negeri dahulu selepas mereka berjaya meraih pingat emas di Sukan Paralimpik di Brazil. Walaupun pemberian itu tertangguh hampir dua bulan," kata Azlan kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di Bangunan PNB di sini.

Kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif untuk pemberian satu lagi insentif berupa sebuah rumah yang berharga tidak kurang daripada RM300,000 kepada setiap seorang daripada mereka.

"Tempoh pemberian rumah itu bergantung kepada masa mereka, kerana pada masa ini mereka sibuk dengan latihan. Bila tiba masanya nanti, kita akan tentukan di mana lokasi rumah yang sesuai untuk mereka, tapi ia masih di Perlis," kata Azlan.

Sementara itu Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif melahirkan rasa syukur dengan insentif itu dan berterima kasih kepada kerajaan negeri.

"Semua duit itu saya akan simpan dan biarkan dalam ASB. Masih belum ada sebarang rancangan untuk menggunakan duit itu," kata Abdul Latif. 

Dalam perkembangan lain, Abdul Latif berkata beliau sekarang dalam persedian untuk menyertai kejohanan Terbuka Malaysia pada Mac depan dalam usaha mencatat lompatan melebihi 7.40 meter.

"Walaupun saya sudah melepasi had kelayakkan Sukan SEA, tapi saya perlu mencapai sasaran itu kerana ia sebagai persedian untuk Sukan SEA tahun depan dan ia merupakan penanda aras yang ditentukan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kepada saya," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Paralimpik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan