Skuasy: Malaysia Muncul Juara Kumpulan Dengan Rekod Bersih

Diterbitkan: Rabu, 30 November 2016 11:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah untuk muncul juara kumpulan C selepas mengalahkan Austria 3-0 pada perlawanan akhir kumpulan di Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia di Paris, Rabu.

Pasukan negara diketuai oleh bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan menundukkan Belanda dan Australia dengan catatan yang sama.

Australia muncul naib juara kumpulan dan akan mengiringi Malaysia keperingkat suku akhir.

Dua pasukan teratas dalam setiap daripada empat kumpulan layak ke suku akhir pada Khamis.

Malaysia, selaku pasukan pilihan ketiga, dijangka bertemu dengan naib juara Kumpulan D, Hong Kong pada peringkat suku akhir manakala Australia menentang juara Kumpulan D, Perancis.

Dalam perlawanan menentang Austria, Delia Arnold menyumbang mata pertamadengan menewaskan Sabrina Rehman 11-3, 11-3 dan 11-8 dalam masa 21 minit sebelum Nicol mengambil masa 17 minit untuk memberi mata kedua negara.

Nicol mengalahkan Sandra Polak 11-3, 11-2 dan 11-1.

Adik Delia, Rachel, yang melakukan penampilan sulung dalam kejohanan dwitahunan itu, melengkapkan jadual perlawanan dengan mengalahkan Judith Van der Merwe 11-7, 11-3 dan 11-6 dalam masa 19 minit.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia ialah gelaran naib juara pada edisi 2014 di Kanada dan sebelum itu menduduki tempat ketiga pada empat edisi berturut-turut iaitu pada 2006, 2008, 2010 dan 2012. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan