Skuad Boling Malaysia Raih Pingat Emas Kedua

Diterbitkan: Jumaat, 25 November 2016 10:45 AM

Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (kiri) dan Shalin Zulkifli mempamerkan pingat emas yang dimenangi pada Kejohanan Boling Tenpin Komanwel di Johannesburg, Afrika Selatan pada 22 November 2016.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan tenpin boling negara menambah satu lagi pingat emas melalui acara berpasukan campuran di Kejohanan Tenpin Boling Komanwel ke-7 di Johannesburg, Afrika Selatan pada Khamis.

Pada perlawanan yang berlangsung di Northcliff Bowl itu, pasukan Malaysia yang dibarisi pemain veteran Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Muhammad Nur Aiman Khairuddin dan Timmy Tan menguasai perlawanan enam 'game' itu sejak dari awal.

Mereka berjaya menggumpul 5,602 jatuhan pin untuk pingat emas kedua negara selepas Muhammad Nur Aiman meraih emas pada Isnin lepas dalam saingan perseorangan lelaki.

Pingat perak menjadi milik pasukan tuan rumah dengan 5,014 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Wales dengan 4,946 jatuhan pin.

Dengan kejayaan itu, Malaysia setakat ini mendahului 10 negara anggota Komanwel yang lain, dengan dua pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.

Selepas empat acara berlangsung, Shalin menggunguli All-events wanita dengan 5,296 jatuhan pin diikuti Siti Safiyah Amirah di tempat kedua dengan 5,248 pin manakala dalam kategori lelaki pula Muhammad Nur Aiman turut mengungguli saingan dengan mengumpul 5,800 pin dan Timmy di kedudukan kedua dengan 5,602 pin. 

Bagaimanapun acara All-events tidak menawarkan pingat.

Keempat-empat mereka berjaya menempatkan diri dalam 12 pemain terbaik setiap kategori, lelaki dan wanita, untuk bersaing dalam acara Masters pula.

Acara Masters, yang melibatkan 12 'game' itu berlangsung pada Jumaat sebelum pemenang ditentukan melalui saingan 'step ladder' pada Sabtu.

Pada edisi ketujuh kejohanan yang berlangsung buat kali pertama di benua Afrika itu, sebanyak 11 buah negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar empat pemain, masing-masing dua pemain untuk kategori lelaki dan wanita. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Tenping Boling , Komanwel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan