Tiada Perubahan Besar Pada Barisan Kepimpinan KOM

Diterbitkan: Sabtu, 19 November 2016 5:25 PM

Karim Ibrahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih mengekalkan sebahagian besar daripada barisan kepimpinan tertingginya bagi menjaga kesinambungan perancangannya terutama dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017.

Pada pemilihan yang diadakan hari ini (Sabtu), hanya dua muka baharu dipilih bagi empat jawatan Naib Presiden, manakala Presidennya Datuk Karim Ibrahim dan Timbalan Presiden Datuk SM Muthu menang tanpa bertanding bagi penggal 2016-2019.

Dua muka baharu tersebut ialah Datuk Paduka Mumtaz Jaffar dan Datuk R. Annamalai yang masing-masing mendapat 39 dan 23 undi, manakala Datuk Noorul Abdul Majeed (26) dan M. Iyaru (25) berjaya mempertahankan jawatan mereka.

Seorang lagi penyandang jawatan itu, Datuk Than Siew Kai terpaksa mengosongkan pejabatnya selepas hanya menerima 22 undi manakala Rajemah Sheikh Ahmad mendapat 21 undi pada pemilihan yang dihadiri 40 perwakilan daripada 14 gabungan.

Barisan kepimpinan itu akan menerajui KOM untuk tiga tahun berikutnya, selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Sabtu sebulat suara bersetuju meminda perlembagaan untuk menukarkan tempoh dua tahun kepada tiga tahun bagi setiap penggal.

"Bermula hari ini, kami yang diberi mandat akan menjalankan kerja dengan serius terutama yang berkaitan Sukan SEA kerana sedar olahraga negara perlu mempertahankan acara yang kita dominasi dalam Sukan SEA sebelum ini.

"Sesiapa pun boleh menang, tetapi apa yang saya mahu ialah komitmen penuh dan bukan sekadar memegang jawatan sahaja...saya nak mereka serius dalam membuat kerja, terutamanya untuk membantu negara muncul juara keseluruhan," kata Karim.

Menurutnya, KOM juga akan memberi pendedahan dan latihan luar negara kepada atlet negara yang telah dikenal pasti dan melepasi had kelayakan manakala bagi mereka yang belum melepasi had kelayakan, akan diberikan pendedahan dalam negara.

Bagi tujuan itu, ketua jurulatih kebangsaan, Zainal Abbas kini berada di Amerika Syarikat untuk meninjau keadaan di Kelab Trek Santa Monica dan sekiranya sesuai, atlet negara akan dihantar untuk latihan dan kejohanan di sana, katanya.

Pemilihan terakhir untuk sukan dwitahunan itu dijangka diadakan antara April hingga Jun depan, bergantung kepada kesediaan Stadium Nasional di Bukit Jalil yang sedang dibaik pulih.

"Selepas itu baru kita boleh umumkan sasaran pingat selepas melihat statistik dari rantau ini, tetapi kita berharap untuk mengatasi pencapaian tahun lalu di Singapura," katanya.

Sementara itu, KOM juga bakal melaksanakan program pembangunan bakat di peringkat akar umbi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan selepas berjaya mendapat bantuan kewangan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada April lalu.

Karim berkata program yang dikenali sebagai 'Talent ID' menerima bantuan sebanyak US$25,000 (lebih kurang RM110,137.50) setahun untuk tempoh empat tahun dan mungkin akan diteruskan sekiranya pelaksanaan dan laporan prestasi KOM memuaskan IAAF.

"Pusat latihan diwujudkan di negeri-negeri yang telah ditetapkan, dan kita akan mencungkil atlet berpotensi dan berbakat untuk terus berkembang supaya kita tidak kehilangan bakat selepas Sukan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia)," jelasnya.

Karim turut menyampaikan geran sebanyak RM10,000 kepada setiap ahli gabungan untuk program pembangunan, pencarian bakat dan menganjurkan kejohanan di peringkat daerah dan kelab. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: KOM , AGM

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan