Johor Suntik Dana Untuk Sukma 2020

Diterbitkan: Khamis, 17 November 2016 4:31 PM

Khaled Nordin

(Ubah saiz teks)

KOTA ISKANDAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM32.16 juta untuk pengurusan dan pembangunan bidang sukan selari dengan pemilihan Johor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peruntukan itu disalurkan untuk membolehkan pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk program pembangunan jangka panjang, Johor Gemilang 2020.

“Menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), program itu akan menggembleng kerjasama pelbagai Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pendidikan negeri bagi melonjakkan pencapaian keseluruhan sukan.

“Usaha tersebut selaras dengan pelan persediaan kita dalam menghadapi Sukma 2020 apabila Johor menjadi tuan rumah,” katanya ketika pembentangan Bajet Johor 2017 pada Sidang Dewan Negeri Johor di sini, Khamis.

Beliau berkata, komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa bidang sukan Johor tidak hanya melibatkan pembangunan infrastruktur, tetapi juga pembangunan bakat di peringkat akar umbi.

Beliau turut memberitahu sidang dewan mengenai usaha jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang bakal mempunyai akademi badmintonnya sendiri di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.

Menurutnya, akademi itu akan mempunyai stadium badminton, asrama serta badminton, pusat kesihatan dan beberapa kemudahan lain.

“Pembinaannya dijangka akan melonjakkan Johor sebagai salah satu destinasi akademi latihan badminton bertaraf antarabangsa di peta dunia seperti Akademi Badminton Frederikshavan di Denmark, Gimnasium Yeomju di Korea, Sekolah Badminton Dongguan LYB di China dan Arena Taufik Hidayat di Indonesia.

“Sebuah pusat sukan dan riadah rakyat juga akan dibina oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) di Mount Austin, Johor Bahru merangkumi stadium olahraga berkapasiti 5,000 orang, padang latihan serbaguna, serta kemudahan utiliti yang menelan kos RM89 juta.

Dana sebanyak RM505,000 juga disalurkan bagi penambahbaikan pembangunan sukan di peringkat Jabatan Pendidikan bagi meneruskan agenda pemerkasaan bakat sukan akar umbi.

“Langkah-langkah strategik yang dirancang oleh kerajaan negeri membuktikan komitmen padu kita dalam membangunkan bidang sukan serta mencungkil bakat-bakat baru untuk Johor dan negara,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan