Mohamad Akhimullah Tekad Terus Sumbang Gol

Diterbitkan: Selasa, 1 November 2016 6:09 PM

Mohamad Akhimullah meraikan jaringan ketika menentang England pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 di Stadium Hoki Taman Daya pada Isnin. FotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Pencapaian menjaringkan gol tunggal negara ketika beraksi menentang England pada perlawanan pembukaan Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 pada Isnin, membakar semangat pemain muda Mohamad Akhimullah Anuar Esook untuk terus menyumbang gol kepada skuad remaja kebangsaan sepanjang kejohanan berkenaan.

Mohamad Akhimullah, 16, berkata beliau sebenarnya tidak menjangka mampu menghasilkan jaringan menerusi gol padang pada minit ke-23 perlawanan itu.

"Ketika beraksi, saya dan rakan-rakan cuma ikut apa diarahkan jurulatih sebelum turun ke padang.

"Gol tunggal semalam adalah hasil kerjasama satu pasukan yang mempunyai peranan masing-masing," katanya.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam, Malaysia tumpas 1-3 kepada England.

Anak jati Kemaman, Terengganu itu berkata harapan beliau adalah untuk menampilkan aksi terbaik dan menyumbangkan lebih banyak gol kepada pasukan negara sepanjang SOJC 2016.

Mohamad Akhimullah berkata setiap kali sebelum dan selepas perlawanan, beliau akan menghubungi ibunya, Rapieah Harun bagi mendapatkan restu dan doa.

"Walau di mana sahaja beraksi, saya akan telefon emak minta agar beliau mendoakan kejayaan saya," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Mengenai cita-citanya, Mohamad Akhimullah berkata impian beliau adalah untuk mewakili negara di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

"Adalah menjadi harapan semua atlet tidak kira dalam apa jua acara sukan untuk beraksi di Sukan Olimpik, begitu juga saya," katanya.

Mohamad Akhimullah berkata beliau mula berminat dengan sukan hoki ketika di sekolah rendah selepas menonton aksi pasukan hoki kebangsaan di televisyen.

"Pada peringkat awal, saya agak takut nak minta izin daripada keluarga untuk terlibat dalam sukan hoki, namum Alhamdulillah kini keluarga banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya," katanya.

Beliau seterusnya menyimpan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan seperti idolanya Faizal Saari, yang merupakan penyerang berbisa skuad hoki senior kebangsaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan