Khairul Hafiz Sah Tidak Sertai 100m Di Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2016 6:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan sah tidak akan mengambil bahagian dalam acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat di Stadium Universiti Malaya, di sini.

Presiden Persatuan Olahraga Melaka, S. Kanabathy berkata pemegang rekod 100m itu sebaliknya hanya menyertai acara 200m dan 4x100m manakala rakan sepasukan, Badrul Hisyam Abdul Manap akan mengambil bahagian dalam acara 100m, 200m serta 4x100m.

"Khairul Hafiz tidak mahu menyertai 100m untuk memberi tumpuan memecahkan rekod kebangsaan 200m milik Tan Sri Dr M Jegathesan iaitu 20.92 saat yang dicipta di Sukan Olimpik 1968 di Mexico," katanya pada sidang media kejohanan, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim pada sidang media sama, mengakui penyertaan pada tahun ini kurang memberangsangkan iaitu hanya 380 atlet sahaja yang mengambil bahagian kali ini.

Beliau mendakwa kemerosotan penyertaan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas berpunca daripada sikap sambil lewa persatuan olahraga anggota ASEAN sendiri.

Sehubungan itu, Karim mahu mencadangkan supaya atlet Asia yang tidak berminat menyertai kejohanan di Asia, tidak dibenarkan menyertai kejohanan yang disokong Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"Saya akan membawa usul itu pada mesyuarat Ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia akan datang kerana saya melihat ramai atlet negara ASEAN tidak berminat menghantar penyertaan berbanding atlet kita yang sentiasa bertanding dalam mana-mana kejohanan di rantau Asia.

"Sebagai contoh, Filipina dan Thailand hanya menghantar 11 dan 10 atlet sahaja pada kejohanan kali ini. Saya tidak tahu sama ada persatuan mereka mengalami masalah kewangan atau sebaliknya," katanya.

Selain Filipina dan Thailand, negara luar yang mengesahkan penyertaan kali ini adalah Kuwait, India, Singapura dan Brunei selain 17 kontinjen tempatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pelapis Majlis Sukan Negara.

Dalam perkembangan lain, Karim menjelaskan badan induk itu sedang menjalankan program latihan intensif yang sesuai untuk skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Katanya program yang dirangka bersama Majlis Sukan Negara (MSN) itu bertujuan memastikan Malaysia muncul juara keseluruhan pada temasya sukan dwitahunan tersebut.

"Kita telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan MSN serta ketua jurulatih, Zainal Abas dan semuanya berjalan lancar. Kita juga sudah memuktamadkan fasa kedua pemilihan atlet dan selepas ini, kita akan lihat siapa yang terpilih atau kekal dalam program sedia ada," katanya.

Tags / Kata Kunci: Khairul Hafiz Jantan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan