Perlis Beri Rumah Teres Kepada Dua Wira Paralimpik

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2016 9:23 PM

Mohamad Ridzuan (empat, kanan) dan Abdul Latif (empat, kiri) menunjukkan replika kunci rumah yang dihadiahkan oleh Kerajaan Negeri Perlis pada Majlis Sambutan Kepulangan dua atlet tersebut ke negeri Perlis di Dataran Dato Sheik Ahmad pada Isnin. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Dua anak jati Perlis yang memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Rio baru-baru ini, akan menerima ganjaran sebuah rumah teres dua tingkat serta wang tunai atas kejayaan bersejarah itu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Azlan Man berkata imbuhan itu bagi menghargai sumbangan besar Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly, yang masing-masing memenangi emas acara 100 meter T36 (cerebral palsy) dan lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

"Kerajaan negeri membuat keputusan untuk menganugerahkan kepada mereka berdua sekurang-kurangnya rumah teres dua tingkat yang akan dikenal pasti lokasinya dalam masa terdekat.

"Tetapi lokasinya mestilah dalam Perlis," katanya semasa majlis sambutan rasmi kepulangan dua atlet berkenaan di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, Isnin.

Azlan berkata kedua-dua atlet itu juga akan diberi imbuhan wang tunai oleh sebuah syarikat pelaburan di Perlis, namun jumlahnya belum ditetapkan.

Sementara bagi jurulatih asal Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif, Azlan berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran yang sesuai.

"Bentuk ganjaran akan kita pertimbangkan kemudian kerana kita sedar tanpa jurulatih yang membimbing dan membina semangat kedua-dua atlet istimewa ini, kita pasti mereka berdua tidak dapat menunjukkan prestasi sebaik ini di peringkat antarabangsa," katanya.

Pada sambutan di Dataran Datuk Sheikh Ahmad itu, lebih 500 rakyat Perlis teruja dan sebak menyambut ketibaan Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif, sambil mengambil peluang bergambar bersama kedua-dua atlet berkenaan.

Terdahulu, Mohamad Ridzuan dan Abdul Latif diarak dengan bas khas diiringi konvoi motosikal berkuasa tinggi dan kereta, bermula di pintu gerbang Ulu Pauh iaitu sempadan antara Perlis menuju ke pasar raya C-Mart, Arau.

Konvoi berkenaan menuju ke Dataran Datuk Sheikh Ahmad melalui Bulatan Jubli Emas sebelum tiba di lokasi sambutan pada 4.50 petang. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: atlet paralimpik , rumah teres , Perlis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan