Sindiran Penguat Semangat Jaganathan Gilap Atlet Paralimpik

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 2:37 PM

Pemenang pingat emas acara 100 meter, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi ketika ditemui di Pusat Kecemerlangan Paralimpik pada 22 September 2016. - M. Azhar Arif/The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tugas sebagai jurulatih olahraga bukan semudah yang disangka apatah lagi mendidik dan memberi ilmu kepada golongan orang kurang upaya.

Itulah yang diakui oleh ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jaganathan yang telah mengharungi pelbagai rintangan sepanjang tempoh 33 tahun berkecimpung dalam bidang ini. 

“Banyak sindiran yang dilontarkan kepada saya sejak saya mula mengambil-alih tugas sebagai jurulatih paralimpik.

"Tetapi semua itu merupakan cabaran bagi saya untuk membuktikan bahawa kami mampu melakukan yang lebih baik berbanding orang lain,” kata Jaganathan di Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik pada Khamis.

Beliau turut menyentuh tentang pemergian atlet paralimpik harapan negara, Mohamad Azlan Mat Lazin yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 2015, sebagai perkara yang sangat sukar untuk diterima.

Apatah lagi Alllahyarham Azlan merupakan pemenang tiga pingat emas pada Sukan Para Asia 2014 di Korea Selatan, sekali gus membawa harapan kepada negara untuk menjelmakan pingat emas pertama buat negara di temasya Sukan Paralimpik.

Namun dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi dan amanah yang diberikan, beliau menggalas tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh untuk melatih pengganti Allayarham Azlan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Ternyata segala keringat Jeganathan yang dicurahkan selama ini berbaloi apabila anak didiknya itu berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama menerusi acara larian 100 meter kategori T36.

Lebih manis lagi, dua pingat emas menyusul tidak lama selepas kejayaan Mohamad Ridzuan apabila jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet lompak jauh, Abdul Latiff Romly melakar kejayaan yang sama dengan masing-masing memecah rekod dunia Sukan Paralimpik.

Atlet wanita dari sukan lompat jauh, Siti Noor Radiah Ismail turut menyumbangkan pingat gangsa menerusi kategori T20.

“Sebelum ini, tiada sesiapa yang mengenali diri kami, tetapi kini setelah memenangi pingat buat negara, kami begitu bersyukur atas semua sokongan yang diberikan oleh semua pihak.  

“Inilah pertama kali dalam sejarah hidup saya sebagai jurulatih Malaysia, diberikan penghormatan dan sambutan yang begitu meriah kepada kontinjen negara iaitu atlet luar biasa,” jelasnya.

Susulan kejayaan manis di Rio, Jeganathan berharap lebih banyak kejutan akan dicipta oleh kontinjen negara yang dijadualkan beraksi pada IPC Paralimpik di Dubai pada Februari depan dan Kejohanan Dunia Paralimpik di London, lima bulan kemudian.

Tags / Kata Kunci: Paralimpik , Jeganathan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan