Penganjur Acara Perlu Cari Dana Sendiri

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2016 12:02 AM

Khairy ketika pelancaran Jelajah Malaysia 2016 pada Khamis. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penganjur perlumbaan berbasikal tidak seharusnya terus mengharap bantuan kerajaan untuk membantu mereka sekiranya berhadapan dengan masalah kewangan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Mereka tidak seharusnya terus mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata. Sebaliknya perlu berusaha sendiri mencari dana untuk melaksanakan perlumbaan yang ingin mereka laksanakan.

"Sebab itu saya bertanyakan kepada penganjur Jelajah Malaysia sama ada mereka betul-betul bersedia untuk menganjurkan perlumbaan Jelajah Malaysia 2016," katanya kepada pemberita selepas melancarkan edisi ke-52 Jelajah Malaysia (JM) di sini Khamis.

Perlumbaan JM2016 pada 18 hingga 22 Oktober ini melibatkan lima peringkat yang meliputi jarak sejauh 750.2 kilometer, yang mana sejumlah 120 pelumba daripada 20 pasukan akan mengambil bahagian.

Merujuk kepada penganjuran perlumbaan kali ini, Khairy berkata penganjur perlumbaan kali ini Peloton Resources memaklumkan kepada beliau bahawa mereka bersedia untuk menanggung sendiri perbelanjaan untuk perlumbaan kali ini.

"Dalam penganjuran Jelajah Malaysia sebelum ini banyak kali berdepan masalah beban hutang dan KBS membantu menyelesaikannya. Malah KBS telah bagi RM200,000 kepada PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) untuk selesai masalah hutang yang berkait dengan penganjuran Jelajah Malaysia tahun lepas.

"Saya berharap tahun ini tidak berlaku masalah saat-saat akhir seperti mana yang berlaku untuk perlumbaan di Sarawak baru-baru ini yang mana terpaksa dibatalkan kerana tidak ada sokongan kewangan. Bila hendak buat sesuatu acara yang besar seperti ini, kena ada sokongan kewangan yang kukuh dan jangan harap kerajaan sahaja," katanya.

Khairy mengakui pihak kementeriannya terpaksa mengambil alih penganjuran acara berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) suatu ketika dahulu akibat masalah kewangan.

"Bagaimanapun, bagi saya 'peranan utama' KBS bukanlah sebagai penganjur acara, sepatutnya kita (KBS) menggunakan peruntukan yang ada untuk pembangunan atlet dan penganjuran acara hendaklah dibuat oleh pihak swasta," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peloton Resources dan penganjuran JM2016, Mohamad Yusri Ismail berkata pihaknya perlu membuat keputusan berani untuk meneruskan usaha penganjuran perlumbaan berbasikal tertua di negara ini.

"Tahun ini saya cuba buat keputusan yang berani untuk cuba mencari penaja sendiri tanpa mengharapkan duit daripada kerajaan. Setakat ini kami sudah mempunyai sumber kewangan yang cukup tetapi masih mencari penaja untuk tujuan kita memberi kelainan kepada penganjuran kali ini. Sehingga kini kami mempunyai enam penaja," katanya.

Mengenai isu hutang penganjuran tahun lepas, Mohamad Yusri berkata masalah itu sedang diselesaikan secara berperingkat.

"Dahulu bukan saya sebagai pengerusi...saya sekali lagi ambil langkah berani untuk cuba menyelesaikan masalah hutang yang lama," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Jelajah Malaysia , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan