Mohamad Ridzuan Raih Tempat Keempat Lompat Jauh T36 - Sukan Ekstra | mStar

Mohamad Ridzuan Raih Tempat Keempat Lompat Jauh T36

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2016 11:20 PM

Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas acara 100m T36 (cerebral palsy), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menamatkan saingan lompat jauh kategori sama di tempat keempat pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Isnin.

Pada saingan di Stadium Olimpik Rio, catatan terbaik Mohamad Ridzuan dalam acara itu ialah 5.36m yang dilakukan pada percubaan keempat.

Bagaimanapun, catatan itu tidak dapat mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.42m yang direkodkan di temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014.

Pingat emas acara itu dimenangi Brayden Davidson dari Australia dengan jarak 5.62m dan pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan jarak lompatan yang sama.

Kedua-dua mereka mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik selepas mengatasi rekod 5.23m milik Roman Pavlyk darui Ukraine pada edisi 2012 di London.

Sementara itu, Pavlyk terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada edisi kali ini dengan jarak 5.61m. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan