Tiga Bintang Golf Dunia Sertai CIMB Classic

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 6:09 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga pemain golf terkemuka dunia, Patrick Reed, Adam Scott dan Sergio Garcia akan beraksi pada kejohanan CIMB Classic 2016 di TPC Kuala Lumpur dari 20 hingga 23 Oktober ini.

Menurut Ranking Rasmi Golf Dunia, Scott dari Australia kini berada di ranking keenam dan juara dua kali Jelajah PGA musim 2015/16, manakala Reed dari Amerika Syarikat di kedudukan kelapan dunia dan merupakan pendahulu terkini saingan Playoff Piala FedEx, sementara Garcia dari Sepanyol yang berada di posisi ke-12 dunia adalah juara sembilan kali Jelajah PGA.

Pemain lain yang akan menyertai kejohanan itu ialah pemain England, Ian Poulter dan Paul Casey, Hideki Matsuyama, Keegan Bradley dan Ernie Els, serta juara bertahan berusia 23 tahun Justin Thomas.

"Sebagai satu-satunya kejohanan rasmi Piala FedEX Jelajah PGA di Asia Tenggara, CIMB Classic sentiasa menampilkan pemain-pemain bertaraf bintang.

Senarai awal pemain ini membuktikan CIMB Classic terus menjadi kejohanan penting dalam kalendar Jelajah PGA. 

"Kami menjangkakan ramai lagi pemain terbaik menyertainya menjelang tarikh tutup kejohanan, dan peminat di seluruh dunia akan disajikan dengan kejohanan golf bertaraf dunia di TPC Kuala Lumpur pada Oktober ini," kata Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam kenyataan pada Jumaat.

CIMB Classic, yang menawarkan hadiah keseluruhan US$7 juta (RM28,515,550), adalah sebahagian daripada kejohanan Piala FedEX Jelajah PGA dan mendapat pengiktirafan bersama Jelajah Asia dan Persatuan Golf Profesional Malaysia,.

Memasuki tahun ketujuh penganjurannya, CIMB Classic 2016 akan menampilkan 78 pemain elit, termasuk 60 pemain Jelajah PGA dan 10 daripada Jelajah Asia. - BERNAMA 


Tags / Kata Kunci: Cimb Classic , Golf

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan