Keluarga Tidak Mahu Beri Tekanan Kepada Peng Soon

Diterbitkan: Rabu, 17 Ogos 2016 5:46 PM

Chan Peng Soon bersama isterinya Cham May May.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seluruh ahli keluarga menonton perlawanan separuh akhir badminton melibatkan pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon di Olimpik Rio 2016 dengan penuh debaran.

Isterinya, Ester Cham May May, 32, berkata, Peng Soon sentiasa menyimpan impian untuk mencapai kemenangan di sukan Olimpik.

"Dan kini hanya tinggal satu perlawanan sahaja! Ia sudah hampir," katanya ketika dihubungi.

May May, penyanyi band tempatan Da.Mon.Ster berkata keluarga dan rakan-rakan sentiasa mengikuti perkembangan Peng Soon, tetapi kini bersungguh-sungguh berharap kerjaya sukannya akan sampai ke kemuncaknya dengan merangkul pingat emas yang sangat didambakan.

Bagaimanapun, mereka tidak mahu memberikan tekanan yang tidak wajar.

"Kami akan terus menyokongnya tidak kira apa pingat yang dibawa pulang. Selagi dia mencuba yang terbaik, kami semua sangat berbangga dengannya.

"Tetapi kita semua berharap akan dapat menyambut pingat emas pertama negara," kata May May.

Pasangan itu berkahwin pada September 2010 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lima tahun serta seorang anak perempuan berusia satu tahun.

Petang Selasa, Peng Soon, 28, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyampaikan ucapan dan doa di laman Facebooknya: "Saya faham semua orang amat mengambil berat, tetapi perlawanan belum berakhir lagi. Mari kita nikmati perlawanan dengan sempurna. Terima kasih semua."
Tags / Kata Kunci: Chan Peng Soon , Cham May May , Olimpik Rio

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan