Satu Rekod Kebangsaan, 19 Rekod Kejohanan Warnai Hari Keempat Sukan Paralimpiad

Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2016 11:53 PM

Tiga atlet paralimpik 200 meter kerusi roda akhir kategori T53/54 dari Sarawak Aslin Melit (tengah), Anthony Martin (kanan) dan Balang Besar bersaing hebat pada Sukan Paralimpiad ke-18 pada Selasa. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Atlet powerlifting Pahang, Vision Jasnie berjaya melakukan angkatan seberat 148kg, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori 65kg lelaki pada hari keempat Sukan Paralimpiad ke-18, Selasa.

Rekod kebangsaan sebelum ini ialah 147kg, dan angkatan oleh atlet dari Pahang itu juga mengatasi rekod Sukan Paralimpiad seberat 145kg.

Acara powerlifting yang berlangsung di Dewan Jubli, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak di Kota Samarahan, turut menyaksikan dua rekod Sukan Paralimpiad dipecahkan.

Atlet Kelantan, Ma Hussein Mat Noh melakukan angkatan bebanan 160kg untuk memecahkan rekod lama kejohanan 157kg dalam kategori 80kg lelaki.

Seorang lagi atlet Pantai Timur, Nurul Azhar Norrdin dari Terengganu turut memadamkan rekod temasya itu apabila melakukan angkatan bebanan 176kg, mengatasi rekod lama 175kg dalam kategori 88kg lelaki.

Acara renang di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya, pula menyaksikan 17 rekod Sukan Paralimpiad dileburkan pada hari kedua acara itu diadakan.

Hari terakhir temasya sukan itu pada Rabu, menawarkan sebanyak 84 pingat emas dengan acara renang menawarkan pingat terbanyak iaitu 31 emas, olahraga (29), catur (8), boling padang (7), badminton (5) dan ping pong (4).

Sementara itu, juara bertahan Sarawak ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila mengekalkan kedudukan selaku pendahulu pungutan pingat, jauh meninggalkan pasukan lain.

Sarawak mengumpul 61 pingat emas, 46 perak dan 57 gangsa.

Johor, naib juara Sukan Paralimpiad ke-17 di Perlis dua tahun lepas, berada di kedudukan kedua dengan pungutan 27 pingat emas, 17 perak dan 13 gangsa.

Dalam pada itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata majlis penutupan rasmi akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Stadium Perpaduan Negeri pada 8 malam Rabu.

Fatimah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, berkata pihaknya menjangkakan semua acara sukan di enam venue pertandingan pada Rabu, akan selesai kira-kira 4.30 petang. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: Sukan Paralimpiad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan