Karate Mampu Sumbang Emas Olimpik Negara

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2016 10:07 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peluang Malaysia memenangi pingat emas acara karate Sukan Olimpik 2020 sememangnya cerah, namun ia perlu disulami perancangan dan persediaan yang mantap, kata bekas atlet kebangsaan, R Puvaneswaran.

Bagi pemenang emas acara kumite bawah 55 kilogram Sukan Asia 2010 itu, Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) perlu segera melakukan rombakan dan perancangan baharu terhadap program persediaan atlet ke arah Sukan Olimpik 2020.

"Sejak sekian lama, karate tidak pernah gagal menyumbang pingat emas di temasya besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan juga pingat lain di peringkat dunia. Kita tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

"Jadi, peluang Malaysia memenangi pingat emas di Olimpik tetap ada," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam mesyuarat sesi ke-129 di Rio de Janeiro, Brazil pada Rabu, meluluskan lima sukan baharu termasuk karate, besbol/sofbol, papan selaju, sukan mendaki dan luncur air ke dalam program Sukan Olimpik 2020 Tokyo.

Puvaneswaran berkata atlet negara perlu bekerja lebih keras untuk memastikan mereka layak mewakili Malaysia di Sukan Olimpik di Tokyo nanti.

Katanya walaupun ketika ini atlet negara telah mencipta nama dan kedudukan yang baik di peringkat Asia dan dunia, beliau yakin syarat dan had kelayakan ke Sukan Olimpik pastinya lebih ketat memandangkan setiap kategori hanya mengehadkan 10 peserta, selain tiada acara berpasukan.

"Apa yang saya lihat di laman web, acara akan dibahagikan kepada lapan kategori dan setiap satu hanya membabitkan 10 peserta sahaja.

"Peluang untuk kita menang memang cerah tapi apa yang penting adalah untuk melayakkan diri terlebih dahulu kerana saya pasti ia akan lebih ketat," katanya.

Pada Khamis, Setiausaha Kehormat Makaf Vincent Chen berkata Persekutuan Karate Dunia (WKF) dijangka mengadakan mesyuarat di Austria bagi membincangkan syarat dan had kelayakan untuk ke Sukan Olimpik 2020, pada Oktober ini.

Vincent mengakui laluan untuk atlet negara tidak akan semudah yang dijangka walaupun Malaysia adalah antara kuasa besar sukan itu di Asia Tenggara.

Mengulas keputusan IOC, Puvaneswaran, 41, berkata keputusan itu sememangnya dinantikan atlet, pegawai serta peminat sukan karate seluruh dunia.

Katanya walaupun terkilan tidak dapat meneruskan impiannya beraksi di temasya Sukan Olimpik, beliau berharap ia dapat dicapai menerusi salah seorang daripada anak didiknya di Akademi Karate Puvan.

Malaysia merupakan kuasa besar karate di temasya Sukan SEA dan telah menyumbang pingat emas dalam empat daripada lima temasya Sukan Asia terakhir.

Syakilla Salni, antara penyumbang pingat emas di Sukan Asia 2014, di Incheon, Korea Selatan turut meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Jerman manakala pasukan kata lelaki yang terdiri daripada Hoe Thomson, Emmanuel Leong dan Ricky Leong turut meraih pingat gangsa pada kejohanan sama tahun lepas. - BERNAMA
Tags / Kata Kunci: karate , Sukan Olimpik 2020

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan