Khairul Hafiz Lengkapkan Kejayaan Acara Olahraga Sukma

Diterbitkan: Sabtu, 30 Julai 2016 5:19 PM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Acara olahraga temasya Sukma kali ini dianggap yang terbaik selepas 18 edisi penganjurannya dan pelengkapnya pasti kejayaan Khairul Hafiz Jantan yang mengesahkan kedudukannya sebagai jaguh pecut negara.

Kemampuannya meleburkan rekod kebangsaan 100 meter berusia 18 tahun milik Watson Nyambek iaitu 10.30 saat, dengan catatan baharu 10.18s, pastinya saat yang tidak dapat dilupakan peminat olahraga terutama mereka yang hadir di Stadium Sarawak, Rabu lalu.

Sehari kemudian wakil Melaka berusia 18 tahun itu, berjaya memadamkan rekod kejohanan acara 200m berusia 14 tahun milik Nazmizan Mohammed dari Terengganu iaitu 21.33s yang dibuat pada Sukma 2002 di Sabah, selepas mencatat 21.14s di separuh akhir acara itu, sebelum memperbaharuinya dengan masa 21.03s, pada Jumaat.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu turut membantu pasukan Melaka memecahkan rekod kejohanan acara 4x100m dan 4x400m, masing-masing dengan catatan 39.89s dan 3:12.66s.

Bagi jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, latihan berintensiti tinggi di Jerman dan Poland ketika menyertai Kejohanan Remaja Dunia dua minggu lalu adalah faktor utama di sebalik kejayaan pelari muda itu.

"Perkara yang membezakan dia (Khairul Hafiz) dengan atlet lain ialah disiplin, usaha dan kehendaknya untuk berjaya. Nasihat saya kepadanya ialah kalau nak pergi jauh, dia kena kekalkan apa yang dia ada pada dirinya sekarang, iaitu disiplin, tak tinggal solat serta hormat orang. 

"Apa yang dicapai tidak harus setakat Sukan Sea sahaja, keinginan saya ialah untuknya ke Sukan Olimpik 2020... insyaAllah," katanya kepada Bernama.

Mengulas hasrat Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menghantar Khairul Hafiz menyertai kejohanan antarabangsa Liga Berlian, Mohd Poad berharap ada perancangan yang teratur dan teliti sebelum menyertai kejohanan itu.  

"Saya rasa dia kena bertanding dalam kejohanan lain di Eropah dan Amerika Syarikat terlebih dahulu sebelum menyertai Liga Berlian kerana cabaran di sana berbeza...pengalaman itu lebih penting," katanya. 

Selain Khairul Hafiz, kejayaan atlet muda yang memecahkan rekod kejohanan menerusi acara lontar peluru wanita, baling tukul besi lelaki, lempar cakera lelaki, 200m wanita, 4x100m wanita, serta dekatlon turut memberi petanda masadepan yang cerah buat olahraga negara yang begitu suram sejak kebelakangan ini.

Bekas jaguh pecut negara, Watson, 40, yang turut dikenali sebagai 'The Flying Dayak' juga mengakui acara olahraga edisi kali ini merupakan yang terbaik pernah beliau saksikan dalam temasya Sukma.

"Saya lihat Sukma kali ini memang hebat, malah masa yang dicatatkan kebanyakan finalis acara 100m semuanya baik. Dulu selepas zaman saya memang tiada atlet, kini ada beberapa atlet muda yang menunjukkan prestasi terbaik.

"Jadi Malaysia tidak ketandusan bakat...harapan saya adalah mereka ini harus memberi inspirasi kepada atlet muda yang lain untuk berjaya," kata atlet kelahiran Miri itu yang turut lega melihat rekod kebangsaannya dipadamkan Khairul Hafiz.

Sesuatu yang menarik adalah jika pada era 1990-an, saingan 100m hanyamembabitkan Watson dan Azmi Ibrahim, kali ini selain Khairul Hafiz, ada dua atlet iaitu Badrul Hisyam Abdul Manap (Melaka) dan Jonathan Nyepa (Sarawak) yang mampu memberi saingan, sekali gus membuktikan Malaysia belum ketandusan bakat.

Begitu juga dengan acara 200m apabila atlet Selangor, Muhammad Aqil Yasmi melonjakkan nama dengan berada di kedudukan antara Khairul Hafiz dan Jonathan, dengan mengetepikan Badrul Hisyam yang terpaksa berpuasa hati di tempat keempat.

Namun dalam kehebatan atlet muda membuktikan kemampuan mereka di gelanggang, satu faktor yang amat menyedihkan adalah kurangnya penonton yang hadir di Stadium Sarawak.

Ketika rekod kebangsaan 100m dileburkan petang Rabu lepas, jumlah penonton di stadium adalah kurang daripada 4,000 orang manakala tidak sampai 2,000 penonton hadir sewaktu perlumbaan akhir 200m yang dilangsungkan pagi Jumaat ketika Khairul Hafiz memburu rekod kebangsaan 48 tahun Tan Sri Dr M Jegathesan.

Ini boleh dikaitkan dengan kurangnya minat peminat sukan kepada olahraga berikutan tiadanya ikon tempatan sejak sekian lama tetapi kemunculan Khairul Hafiz, diharap mampu mengubah persepsi itu.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Khairul Hafiz

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan