Tiada Sasaran Spesifik Jumlah Pingat Di Rio - Khairy

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 7:04 PM

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef de Mission Sukan Olimpik Rio 2016, Tan Sri Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid (kiri) pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke sukan Olimpik di Istana Negara pada Khamis. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak meletakkan sasaran spesifik mengenai jumlah pingat yang perlu dibawa pulang oleh kontinjen negara ke Sukan Olimpik di Rio de Janiero, Brazil, Ogos ini.

Namun, beliau tetap meletakkan sandaran kepada tiga acara sukan --badminton, berbasikal trek dan terjun, akan menyumbang pingat tanpa mengira warna pada temasya yang akan membuka tirai pada 5 Ogos.

"Saya tidak mahu memberikan tekanan yang lebih kepada para atlet dengan meletakkan apa-apa sasaran yang spesifik. Kementerian Belia dan Sukan juga yakin dan percaya mereka yang kita harapkan akan mendapat kedudukan podium, pasti akan melakukan yang terbaik untuk merealisasikan perkara tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzamShah, di Istana Negara, Khamis.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kejayaan jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan, Khairy mengucapkan tahniah kepada pelari pecut itu yang telah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan 100 meter milik Watson Nyambek.

Katanya, dengan kejayaan yang dilakukan itu, Khairul Hafiz telah meletakkan dirinya sebagai calon utama pemenang pingat emas temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

"Ini kerana sewaktu kemenangan dalam acara 100m Sukan SEA di Singapura lalu, catatan pemenang pingat emas ialah 10.25s dan rekod Sukan SEA 10.17s. Jadi catatan masa beliau (Khairul) tidak jauh dari rekod Sukan Sea," katanya.

Khairy yang juga Pengerusi Sekretariat Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Aseanke-9 (MASOC), berkata beliau akan berbincang dengan jawatankuasa pemilihan untuk mencalonkan Khairul Hafiz ke dalam Program Podium pada masa akan datang.

Khairul Hafiz yang juga atlet di bawah Program Kita Juara Sukan Sea 2017,melakar kejayaan manis apabila meleburkan rekod 100 meter Sukma dan kebangsaan dengan catatan 10.18s, sekali gus memadam rekod lama 10.30s yang dicipta Watson Nyambek pada Sukan Pra-Komanwel 1998.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Sukan Olimpik , Rio , khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan