Khairul Hafiz Sasar Pecah Rekod M.Jegathesan - Ibu

Diterbitkan: Khamis, 28 Julai 2016 6:05 PM

Ibu jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan bangga dengan pencapaian anaknya yang berjaya mencatat rekod baharu kebangsaan, menghayati gambar telefon bimbit yang jelas memaparkan masa yang dicatat anaknya. ketika ditemui di rumahnya. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

MELAKA: "Mama, Angah (Khairul Hafiz) dah buat yangterbaik dan Alhamdulillah dapat pecah rekod," kata pemegang rekod kebangsaanbaharu acara 100 meter Khairul Hafiz Jantan ketika menghubungi ibunya Norliza Muhamat bagi memaklumkan kejayaan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-18, di Kuching, Sarawak pada Rabu.

Suri rumah berusia 41 tahun itu berkata anak kedua daripada tiga beradik itu menghubunginya dalam keadaan sebak bagi memaklumkan kejayaannya kira-kira satu jam selepas beliau menyaksikan aksi Raja Pecut Sukan Sekolah Asean itu melakar sejarah negara di kaca televisyen.   

Norliza berkata dia hanya mampu berkongsi kejayaan itu bersama anak bongsunya Noor Khairina, 12, kerana  suaminya Jantan Ramli, 48, dan anak sulungnya Khairul Naim, 19, berada di Sarawak bagi memberi sokongan moral kepada Khairul Hafiz.   

"Saya dan keluarga termasuk Angah tidak pernah terfikir atau meletakkan harapan yang tinggi dalam pertandingan lebih-lebih lagi acara 100 meter. Apa yang saya tahu beliau mempunyai azam untuk pecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter Tan Sri Dr M.Jegathesan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil di sini.

Catatan rekod Jegathesan ialah 20.92 saat yang dilakukannya ketika bertanding di Sukan Olimpik Mexico, 1968.




Raja Pecut baharu negara itu melintasi garisan penamat dalam saingan akhir acara berkenaan di Stadium Sarawak  dengan catatan 10.18 saat, sekali gus memadamkan rekod lama 10.30s yang dicipta Watson Nyambek pada Sukan Pra-Komanwe l1998.

Mengulas pembabitan anaknya dalam bidang olahraga, Norliza berkata Khairul Hafiz mula berjinak dalam sukan berkenaan sejak berusia 10 tahun ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Dato Demang Hussin di Bukit Katil.   

Bakatnya terus terserlah ketika di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota  ketika berada di tingkatan empat dan seterusnya terpilih ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Bandar Penawar Johor.   

"Anak saya merupakan olahragawan di sekolah rendah dan menengah dan bakat olahraganya terus dapat perhatian serta kepercayaan jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim sehingga sekarang," katanya.   

Beliau berkata anaknya yang bercita-cita menjadi seorang anggota polis itu disifatkan sebagai seorang yang kuat semangat, tidak pernah berputus asa dan bersikap positif dalam semua cabaran yang disertainya.   

Katanya dia dan keluarga sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada remaja berusia 18 tahun yang menyambut hari jadinya pada 22 Julai lepas untuk memberikan aksi yang terbaik walaupun jaguh pecut negara berkenaan jarang berada bersama keluarga disebabkan jadual latihan dan pertandingan yang padat. 

"Ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan merupakan pendorong utamanya dan dia sanggup cuti kerja untuk mengikuti dan memberi dorongan kepada anaknya itu. Kami cuma berharap dia buat yang terbaik bagi harumkan nama Melaka dan Malaysia," katanya.

Katanya mereka sekeluarga hanya dapat berhari raya bersama Khairul Hafiz pada hari raya pertama kerana beliau terpaksa berlepas ke Poland bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia pada minggu lepas.   

Pelajar tingkatan enam itu gagal ke final pada kejohanan di Poland apabila sekadar melakukan 10.58s pada peringkat separuh akhir acara 100 meter namun sebelum itu beliau berjaya membawa pulang pingat emas negara dengan catatan 10.36s di Kejohanan Remaja Asia di Ho Chi Minh, Vietnam pada Jun lepas.   

Mengulas pencapaian anaknya itu, beliau berkata kejayaan berkenaan diharap menjadi titik tolak  kepada Khairul Hafiz untuk terus maju dalam sukan olahraga negara dan tidak lupa diri.   

"Saya berharap dia tidak lupa diri sebaliknya lebih berusaha utuk terus berjaya dalam bidang olahraga. Lakukan yang terbaik dan doa keluarga sentiasa bersama," katanya.   

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan ganjaran  yang sesuai dengan pencapaian dan rekod baharu yang dicatatkan atlet remaja berkenaan.   

"Syabas saya ucapkan kepada Khairul Hafiz Jantan kerana bukan hanya mengharumkan nama Melaka tetapi juga melakar rekod baharu dalam acara 100 meter. Kita akan fikirkan ganjaran yang sepatutnya," katanya ketika dihubungi pemberita.  -Bernama
Tags / Kata Kunci: Khairul Hafiz , Raja Pecut

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan