PM Najib Suntik Semangat Kepada Atlet Negara Ke Olimpik Rio

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2016 2:12 PM

Lee Chong Wei membantu memakaikan jaket kontinjen negara ke Sukan Olimpik pada majlis di Putrajaya, Rabu.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi suntikan semangat kepada atlet negara yang akan berjuang di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil bulan depan agar membawa pulang pingat emas pertama untuk negara di sukan berprestij itu.

Najib dalam pertemuannya dengan kontinjen Malaysia di Perdana Putra di sini berkata seluruh rakyat Malaysia sentiasa menyokong dan mendoakan 32 atlet yang akan mewakili negara dalam pelbagai acara untuk membuat yang terbaik dalam Sukan Olimpik. 

"Namun kita sedar bahawa Sukan Olimpik bukan mudah sebab ia merupakan pentas paling berprestij dan paling dinanti-nantikan semua negara. Oleh itu, ia merupakan satu pertandingan sengit. 

"Ini sentiasa menjadi impian negara untuk mendapat pingat emas Olimpik. Saya pasti ia akan kekal dalam ingatan anda agar anda akan melakukan yang terbaik.

Saya tidak mahu memberi tekanan kepada anda. Ini tidak benar kerana anda telah berlatih bersungguh-sungguh.

"Saya di sini untuk memberitahu anda bahawa rakyat di belakang anda. Kami mendoakan kejayaan anda. Kami harap anda memenangi pingat emas pertama atau apa-apa pingat dalam temasya itu," katanya.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Chef de Mission kontinjen Malaysia Tan Sri (Ir) Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid. 

Seramai 11 atlet daripada 32 atlet yang layak ke Sukan Olimpik hadir dalam pertemuan itu termasuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pemain badminton negara, Goh Liu Ying.

Kumpulan pertama atlet negara telah berlepas ke Rio de Janeiro pada 21 Julai manakala kumpulan terakhir akan berlepas pada 2 Ogos.

Najib berkata atlet negara membuat persediaan dengan menjalani latihan rapi menerusi pelbagai pertandingan di dalam dan luar negara dengan secukupnya.

"Satu-satunya perkara kini ialah sama ada anda boleh mencapai prestasi hingga ke kemuncaknya (di Rio de Janeiro). Ini bermakna anda perlu selaraskan semua perkara. Aspek fizikal, emosi, mental dan keyakinan perlu mencapai peringkat tertinggi apabila tiba masanya," katanya.

Pada Sukan Olimpik di London, Najib berkata Malaysia menerusi pemain badminton negara, Chong Wei memenangi pingat perak manakala pingat gangsa menerusi penerjun negara Pandelela Rinong. 

"Kami harap tahun ini Chong Wei akan meraih pingat emas untuk negara. Kami tahu anda boleh melakukannya kerana telah menewaskan pesaing dalam perlawanan sebelum ini. Kami berharap dan berdoa untuk anda.

"Kami juga berharap atlet lain juga dapat membanggakan kami. Sama ada menang atau tidak, kami ucapkan selamat berjaya kepada semua," katanya.

Najib berkata pemenang pingat emas akan mendapat ganjaran RM1 juta dan juga pencen tetap RM5,000 sebulan daripada kerajaan.

Pemenang pingat perak dan gangsa pula akan diberi pencen tetap RM3,000 dan RM2,000 setiap bulan, katanya. 

"Dengan ganjaran ini, kami berharap anda dapat melakukan yang terbaik.

Selamat berjuang," katanya.-- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan